KOTA KINABALU: Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau hari ini telah mengumumkan barisan ahli jawatan kuasa Dewan Perniagaan Malaysia – China (MCCC) cawangan Sabah sesi 2025 -2028.
Beliau merupakan seorang usahawan muda yang berjaya dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan dan kepimpinan serta berhasrat untuk membawa MCCC Sabah ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Harapan beliau sebagai Presiden baru MCCC akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China melalui penglibatan aktifnya dalam MCCC.
Sebelum ini, beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi MCCC Cawangan Sabah serta merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan MCCC Malaysia.
“Saya akan terus berusaha merangsang pertumbuhan ekonomi dua hala dengan memastikan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara terus berkembang.
“Selain mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi usahawan tempatan. Pengalaman saya dalam bidang perniagaan sebagai usahawan pastinya memberi kelebihan dalam menarik pelaburan asing.
Dengan pengetahuan yang mendalam tentang keperluan pasaran, strategi perniagaan dan cara untuk berhubung dengan pelabur luar, beliau dapat memainkan peranan penting dalam merangsang minat pelaburan asing.
“Hal ini adalah selaras dengan hala tuju kerajaan GRS di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang ingin memperluas penglibatan pelaburan asing dalam pelbagai industri di negeri ini,” ujar Dexter.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Jelas keupayaan beliau untuk mengenal pasti peluang dan cabaran serta mewujudkan hubungan yang strategik dapat memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur dan berkembang bersama industri tempatan.
Ahli jawatankuasa MCCC terdiri daripada tokoh-tokoh berpengaruh dan pemimpin dalam industri, dan merupakan dewan perniagaan yang terkemuka.
Dexter dibantu oleh Kapitan Dr Tan Kai Lee selaku Timbalan Presiden. Tiga jawatan Naib Presiden disandang oleh Chin Thau Chung @ Jacky Chin, Su Khon Fen, dan Lau Jiin Woei.
Ivan Chai Bor Yuan pula dilantik sebagai Setiausaha, manakala jawatan Bendahari dipegang oleh Shawn Tan Cen Ven. Timbalan Bendahari pula ialah Tommy Lo Chun Sian.
Bagi urusan perdagangan, Brian Ho Joon Chuan memegang peranan sebagai pegawai urusan, dengan Wong Kwong Fah sebagai Penolong Hal Ehwal Perdagangan.
Jawatan Perhubungan Awam disandang oleh Goh Chuen Sheng, dibantu oleh Yong Wei Hau selaku Penolong Perhubungan Awam.
Ahli jawatankuasa pula terdiri daripada Hon Fook Peng, Civic Chin Vui Khen, dan Neilson Chang Wai Chuen.