TAWAU: Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun pagi ini ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai hanyut ketika menyeberang sungai bersama bapanya dalam kejadian di Kampung Ranggu Batu 8, Jalan Apas, Tawau semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Yahya Abd Fattah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.06 petang kelmarin.
“Kawalan BBP Tawau terima panggilan kecemasan bahawa terdapat seorang mangsa, Putri Jimar, 4 tahun dikhuatiri hanyut di sungai.
“Menurut pengadu, mangsa dipercayai hanyut di sungai ketika menyeberang sungai bersama bapa mangsa.
“Mangsa seterusnya ditemui orang awam pada jam 8 pagi tadi dengan jarak 800 meter dari lokasi asal dilaporkan lemas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya lagi, pasukan Bomba seterusnya menyerahkan mayat mangsa kepasa pihak polis bagi tindakan susulan sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.30 pagi.