Sabah Sambut Krismas di Peringkat Negeri Buat Pertama Kali

Sabah Sambut Krismas di Peringkat Negeri Buat Pertama Kali

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bermula 16 hingga 19 Disember 2025 di Padang Merdeka, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, Datuk Ewon Benedick berkata, penganjuran kali ini mencatat sejarah apabila sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Sabah Council of Churches (SCC) diangkat secara rasmi sebagai acara peringkat negeri.

“Ini merupakan satu pengiktirafan penting dan mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam menyokong dan meraikan kepelbagaian sambutan perayaan keagamaan di negeri ini,” katanya.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, majlis perasmian sambutan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pada 16 Disember 2025.

Menurutnya, majlis penutupan pula akan disempurnakan oleh Hajiji pada 19 Disember 2025.

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini iaitu “Pengharapan Damai Dalam Kasih” atau Hope For Peace In Love menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First.

“Sambutan ini bukan sekadar perayaan keagamaan, tetapi menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat Sabah yang hidup dalam suasana saling menghormati dan aman,” katanya.

Selain pengisian pentas sepanjang empat hari sambutan, Ewon berkata Jamuan Rakyat turut diadakan dengan penglibatan 100 usahawan tempatan daripada kalangan penjaja kecil.

“Penyertaan usahawan ini adalah sebahagian daripada sokongan Kerajaan Negeri kepada perusahaan mikro dan kecil, di samping memberi peluang kepada mereka menjana pendapatan sempena sambutan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menjemput seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang untuk hadir dan bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut.

Maklumat lanjut mengenai atur cara Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick, Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.