Cement Industries Sumbang RM1 Juta Kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah

Cement Industries Sumbang RM1 Juta Kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) hari ini menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.0 juta kepada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan anak-anak negeri ini.

Penyerahan replika cek sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Haji Akim, kepada Pengerusi Bersama TPNS, Dato’ Sri Haji Ghulamhaidar Khan Bahadar, dan disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Majlis penyerahan berlangsung secara ringkas di Pejabat Ketua Menteri, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif, yang juga Pengerusi TPNS; serta Pengurus Besar CIS, Haji Sumardi Mohd Yusof.

Menurut Haji Sumardi, sumbangan kepada TPNS merupakan sebahagian daripada komitmen CIS sebagai sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) dalam menyokong inisiatif strategik kerajaan negeri bagi memperkasa sektor pendidikan.

Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan membantu melengkapkan anak-anak Sabah dengan akses kepada pendidikan tinggi, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan sejajar dengan visi kerajaan negeri untuk melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.