KUALA LUMPUR: Stesen TV3 mohon maaf atas kejadian dan isu tetamu lelaki yang mengenakan pakaian dan menyerupai wanita hadir pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39) Ahad lalu sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
TV3 dalam satu kenyataan bahawa pihaknya mengambil maklum setiap pandangan orang ramai mengenai isu berkenaan.
“Kami amat menghargai pandangan dan kebimbangan masyarakat dan TV3 akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.
“Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut,” katanya.
Memetik mStar, perkara ini juga sudah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
TV3 dalam kenyataan sama menjelaskan bahawa stesen berkenaan mematuhi garis panduan ditetapkan dan tidak membenarkan mana-mana penonton yang hadir mengenakan pakaian bertentangan jantina.
“Sebagai saluran penyiaran yang bertanggungjawab, TV3 sentiasa komited untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, termasuk apa yang telah digariskan oleh kerajaan.
“TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujar stesen TV berkenaan.