BADAN BERKANUN NEGERI, GLC BAYAR RM138.7 JUTA DALAM BENTUK DIVIDEN, CARUMAN

BADAN BERKANUN NEGERI, GLC BAYAR RM138.7 JUTA DALAM BENTUK DIVIDEN, CARUMAN

0
SHARE
Masidi
Dionysia menyampaikan replika cek dividen bernilai RM50 juta kepada Masidi ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Badan berkanun negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membayar sejumlah RM138.7 juta dividen dan sumbangan kepada Kerajaan Negeri pada 30 Oktober tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji badan berkanun dan GLC Negeri yang mencatatkan keuntungan dan boleh membayar dividen pada masa yang sama memberi sumbangan kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu adalah 8.8 peratus lebih rendah daripada jumlah yang diterima tahun lalu.

“Ia agak mengecewakan. Semua badan berkanun dan GLC perlu meningkatkan usaha untuk menjana lebih banyak pendapatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya pada majlis penutup kursus lembaga pengarah dan penyampaian dividen dan sumbangan di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan, Datuk Masidi Manjun.

Antara yang membayar dividen kepada kerajaan negeri ialah GLC negeri “termuda”, SMJ Sdn Bhd (SMJSB), yang membayar RM50 juta.

Agensi lain yang membayar dividen ialah Sabah Credit Corporation (RM17 juta), KKIP Sdn Bhd (12 juta), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (RM12 juta), Innoprise Corporation Sdn Bhd (RM3.568 juta), Desa Plus Sdn Bhd (RM2juta), Sabah International Dairies Sdn Bhd (RM1 juta), Borneo Development Corporation (RM355,320), Sabah Air Aviation Sdn Bhd (RM305,210) dan Keningau Agro-VentureSdn Bhd (RM500,000).

Enam agensi menyumbang kepada kerajaan negeri: Lembaga Perindustrian Getah Sabah (RM1.5 juta), Lembaga Pelabuhan Sabah, Lembaga Kemajuan Hutan Sabah (Safoda), Perbadanan Kemajuan Luar Bandar (KPD) dan Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), masing-masing menyumbang RM1 juta, dan Ko-Nelayan, menyumbang RM500,000.

Sementara itu, Hajiji berkata badan berkanun dan lembaga pengarah GLC mesti melaksanakan tadbir urus korporat yang baik dari perspektif pentadbiran dan penilaian untuk memastikan keselamatan syarikat dan badan berkanun terjamin.

Katanya ahli lembaga pengarah yang mempunyai etika dan moral yang baik akan dapat mengemudi syarikat mereka untuk memacu pertumbuhan ekonomi di samping mempertingkatkan perancangan strategik.

Dalam hal ini, Hajiji memilih Sawit Kinabalu sebagai penanda aras untuk dicontohi oleh semua GLC negeri dan badan berkanun.

Ini kerana Sawit Kinabalu membuktikan daya tahan dan daya saing yang kukuh dalam industri walaupun berdepan harga komoditi minyak sawit yang tidak menentu.

“Pada masa sama, setiap agensi perlu bijak dan berjimat cermat dalam perbelanjaan serta mengutamakan pulangan yang baik untuk melindungi kebajikan syarikat, mengekalkan prestasi dan menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri,” katanya.

Beliau juga mengingatkan ahli lembaga pengarah agensi negeri supaya sentiasa berdasarkan keputusan mereka pada Akta Syarikat, enakmen kewangan semasa atau pekeliling.

“Ahli lembaga pengarah mesti secara kolektif memastikan agensi mereka beroperasi dengan cekap dan kemampanan fiskal serta boleh merangka strategi terbaik untuk manfaat negeri,” katanya.

Hajiji berkata beliau menyokong inisiatif Kementerian Kewangan Negeri mengadakan kursus tersebut adalah wajar bagi ahli lembaga pengarah baharu dan sedia ada untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mengurus agensi masing-masing.

Beliau berkata badan berkanun dan GLC negeri mesti menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi Sabah secara holistik dan menyokong usaha kerajaan negeri mengurangkan pergantungan negeri kepada makanan import dan membasmi kemiskinan.

Masidi
Dionysia menyampaikan replika cek dividen bernilai RM50 juta kepada Masidi ( Sumber Foto: Ihsan JKM Sabah )