Dokumen Rasmi Israel Syorkan 2.2 Juta Rakyat Palestin Diusir

Dokumen Rasmi Israel Syorkan 2.2 Juta Rakyat Palestin Diusir

0
SHARE
Gaza
Suasana rakyat di Gaza ( Sumber Foto: Getty Images )

TEL AVIV, ISRAEL – Dokumen rasmi Kementerian Perisikan Zionis yang “tidak sepatutnya sampai ke media” menyatakan rancangan untuk mengusir 2.2 juta rakyat Palestin yang tinggal di Gaza ke Sinai, Mesir dengan kaedah paksaan agar diserap negara itu.

Portal Israel Local Call/+972 melaporkan dokumen 10 muka surat yang bertarikh 13 Oktober, tujuh hari selepas serangan Hamas pada 7 Oktober mengesyorkan pemindahan penuh penduduk sebagai tindakan pilihan.

Pemindahan itu antara tiga usul masa depan rakyat Palestin di Gaza dalam rangka perang semasa yang berharap untuk mendapat sokongan penuh masyarakat antarabangsa.

Dokumen itu mengesyorkan supaya Israel mengusir mangsa perang Palestin supaya mereka menubuhkan bandar khemah dan kemudiannya lebih banyak bandar kekal di utara Sinai dan berharap agar mereka diserap.

“Kemudian mewujudkan “zon steril beberapa kilometer dalam Mesir, dan menghalang kembalinya penduduk kepada aktiviti atau kediaman berhampiran sempadan dengan Israel.

“Pada masa yang sama, kerajaan di seluruh dunia, yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, mesti digerakkan untuk melaksanakan langkah itu,” jelas sumber terbabit.

Kementerian Perisikan Israel telah mengesahkan kepada portal Local Call/+972 bahawa dokumen itu adalah sahih dan ia telah diedarkan kepada pertubuhan pertahanan oleh bahagian dasar kementerian.

Dalam peringkat pertama pelan pemindahan kejam itu, tindakan mesti diambil supaya penduduk Gaza “bergerak ke selatan”.

“Serangan udara akan tertumpu di utara Semenanjung Gaza. Pencerobohan darat ke Gaza akan bermula, membawa kepada pendudukan seluruh semenanjung dari utara ke selatan diikuti pembersihan kubu bawah tanah pejuang Hamas.

“Serentak dengan pendudukan semula Gaza, orang awam Palestin akan dipindahkan ke wilayah Mesir dan tidak dibenarkan pulang.

“Adalah penting untuk membiarkan laluan perjalanan ke selatan terbuka untuk membolehkan pemindahan penduduk awam ke Rafah,” jelas dalam dokumen tersebut.

Dokumen itu turut mencadangkan kempen yang menyasarkan orang awam Palestin di Gaza yang akan memaksa mereka untuk menerima rancangan itu sehingga menyebabkan mereka menyerahkan tanah mereka.

Katanya, mesej yang disampaikan harus berkisar tentang isu kehilangan tanah yang menjelaskan bahawa tiada ada harapan bagi penduduk Palestin untuk kembali ke wilayah yang akan diduduki Israel.

“Imej itu perlu, Allah pastikan anda kehilangan tanah ini kerana kepimpinan Hamas.

“Tidak akan ada pilihan selain berpindah ke tempat lain dengan bantuan saudara Islam anda,” jelas dalam dokumen itu.

Gaza
Suasana rakyat di Gaza ( Sumber Foto: Getty Images )