Harapan Tinggi Pewartaan ‘Sabah Day’ Jadi Realiti Menjelang 2022

Harapan Tinggi Pewartaan ‘Sabah Day’ Jadi Realiti Menjelang 2022

0
SHARE
Duduk di sebelah kiri adalah Jalumin Bayogoh dan Datuk Yong Teck Lee di sebelah kanan semasa Sambutan Sabah Day secara maya...

KOTA KINABALU, SABAH – Tokoh politik veteran, Datuk Haji Mohd Noor Mansoor, meminta Pemimpin Sabah bertindak lebih berani dan segera merealisasikan impian mewartakan ‘Sabah Day’.

Beliau berkata demikian semasa Sambutan ‘Sabah Day’ ke-58 Selasa baru-baru ini, yang disiarkan secara langsung dari pusat operasi Parti Progresif Sabah (SAPP) di Likas.

Program Sambutan yang diadakan secara hibrid melihat seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam persidangan maya terdiri daripada pemimpin SAPP, STAR dan ahli parti serta aktivis dari pelbagai NGO seperti Mosik, Sorak Sabah, Mondopitan, Pandaras dan lain-lain.

“Sekiranya Sarawak dengan bangganya dapat merayakan 22 Julai setiap tahun sejak 2016 sebagai Sarawak Day, mengapa tidak kita dengan Sabah Day,” tegasnya.

Bekas Menteri Kewangan semasa Kerajaan BERJAYA juga meminta agar rakyat Sabah untuk selalu bersatu dan tidak mengikuti budaya politik yang kurang matang.

Datuk Haji Mohd Noor Mansoor…

Dia juga mengingatkan bahawa Malaysia hanya dibentuk sebagai Persekutuan baharu pada 16 September 1963, iaitu 58 tahun yang lalu.

Mengingati peristiwa-peristiwa pada 31 Ogos 1963, dia mengatakan Sir William Goode Gabenor Borneo Utara (Sabah) telah mengeluarkan kenyataan mengenai ‘Sabah Day’, pemerintahan sendiri Sabah dan Kemerdekaan Sabah sebagai akhir penjajahan British.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Jeffery Kitingan dalam rakaman ucapannya yang disiarkan dalam talian menggunakan aplikasi Zoom mengatakan bahawa sudah tiba masanya Sabah mencapai status pemerintahan sendiri.

Menurutnya, ‘Sabah Day’ apabila diwartakan adalah pelengkap kepada pembentukan Malaysia.

“Ini akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk Sabah di masa depan, dan meningkatkan status Sabah sebagai sebuah Wilayah seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin di Sarawak awal tahun ini,” tambah Jeffrey.

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan…

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga sangat optimis bahawa Sabah Day akan diwartakan dan menjadi perayaan rasmi Sabah mulai tahun depan.

“YAB Ketua Menteri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan mewartakan Hari Sabah dan begitu juga dengan anggota Kabinet yang lain,” tambah Jeffrey.

Beliau juga mengatakan kertas cadangan sedang dalam proses diselesaikan dan akan dibentangkan di Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee juga menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi bahawa Sabah Day akan diwartakan dan disambut secara rasmi oleh Kerajaan pada setiap 31 Ogos, akan menjadi realiti.

Yong juga berkongsi keterujaannya atas perkembangan positif di kalangan rakyat Sabah, badan korporat dan pemimpin politik yang telah mula meletakkan hashtag “Sabah Day” di rangkaian media sosial.

Datuk Yong Teck Lee…

“Sabah Day adalah perjuangan kita semua. Tahun 2023 nanti adalah salah satu cabaran iaitu Sambutan Jubli Intan Sabah Day ke-60. Semoga kita dapat merayakannya secara besar-besaran di seluruh Sabah,” tambahnya.

Yong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Dilantik) mengajak para aktivis untuk meneruskan usaha mereka mendidik masyarakat mengenai sejarah Sabah dan bekerja keras untuk mempromosikan ‘Sabah Day’.

Japiril Suhaimin, Pengerusi Penganjur Sambutan bagi kali ketiga, membuat kesimpulan bahawa Sambutan ‘Sabah Day’ telah membuktikan bahawa SAPP dan STAR sentiasa konsisten dalam perjuangan mereka.