AYER KEROH: Pelaksanaan agenda reformasi pentadbiran dan perundangan negara dilaksanakan secara berperingkat serta berasaskan realiti semasa demi memastikan impak perubahan yang kukuh dan mampan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, biarpun terdapat desakan untuk melihat segala perubahan dilakukan dengan pantas, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa pelbagai reformasi signifikan telah pun berjaya direalisasikan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Saya harap rakan-rakan yang menuntut perubahan, silakan. Tetapi terima kenyataan bahawa perubahan sudah dilakukan. Kita boleh senaraikan berapa banyak. Keberanian reformasi madani apa dia? 60 tahun sebelumnya, hal-hal yang patut dilakukan, tidak dilakukan.
“Jadi kalau pun kita menegur, menggesa, mendesak, jangan memadamkan kenyataan yang sudah dilakukan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memerlukan pendekatan rundingan dan toleransi politik antara Pakatan Harapan (PH) serta rakan-rakan gabungan lain bagi menjayakan sesuatu dasar.
Menjelaskan pencapaian reformasi sedia ada, Perdana Menteri menyenaraikan beberapa undang-undang serta inisiatif utama yang telah diluluskan dan dilaksanakan di bawah kepimpinannya.
Antaranya termasuk pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62), Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA), penubuhan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), Akta Kredit Pengguna serta pelindungan kebajikan pekerja gig.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa sikap terburu-buru dalam melaksanakan perubahan struktur negara boleh mengundang kegagalan jika tidak ditangani secara pragmatik.
“Maknanya, biarpun merdeka di Tanah Melayu ini hampir tujuh dekad, ada ratusan perubahan yang dilakukan. Dalam tiga tahun, ada yang mengandaikan semuanya harus diadakan sekarang… Saya ingin ingatkan, kita tahu perubahan itu harus bertapak, berperingkat. Ini bukan sebagai dalih untuk mengelak. Kita juga belajar dan sentiasa saya ingatkan, (jangan) gopoh,” kata beliau.






