UMS Dan Adamson University Jalin Kerjasama MoU Dalam Bidang Akademik Dan Penyelidikan

UMS Dan Adamson University Jalin Kerjasama MoU Dalam Bidang Akademik Dan Penyelidikan

0
SHARE
Ums
Pengurusan tertinggi UMS dan wakil AdU mengambil gambar kenangan selepas pertukaran dokumen MoU. Turut kelihatan Kasim (enam dari kanan) dan Maruja (lima dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Adamson University (AdU), Filipina, menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS, di sini, pada Rabu.

MoU itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan Pengarah Perhubungan Universiti AdU, Sr Maruja S. Padre Juan.

Ia turut disaksikan Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Pengerusi Jabatan Kejuruteraan Kimia, Kolej Kejuruteraan AdU, Prof. Madya Engr Erison C Roque.

Menurut Kasim, pemeteraian MoU itu merangkumi kolaborasi akademik, serta kerjasama dalam pengajaran dan penyelidikan.

“Kerjasama ini juga meliputi program mobiliti pelajar dan kakitangan akademik, persatuan, persidangan, lawatan akademik dan aktiviti-aktiviti lain yang dipersetujui kedua-dua belah pihak tertakluk kepada undang-undang dan dasar dari semasa ke semasa.

“Adalah diharapkan MoU ini dapat memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua universiti dan memberi manfaat bersama,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maruja dalam ucapannya memaklumkan bahawa UMS sebagai sebuah universiti yang tepat untuk jalinan kerjasama MoU.

“Saya sangat selesa di sini dan berasa seolah-olah berada di rumah sendiri kerana masyarakat yang begitu mesra selain budaya yang hampir sama dengan masyarakat di Filipina.

“Saya percaya pelajar dari AdU juga nanti akan mempunyai perasaan seperti ini dan menikmati pengalaman suasana pembelajaran yang kondusif di UMS,” katanya.

Untuk rekod, MoU UMS – AdU akan berkuat kuasa serta merta dan akan kekal untuk tempoh lima tahun.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Rosalam Sarbatly; dan Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan (FPEP), Prof Madya Dr Mohd Rahimie Abd Karim; Ketua Pegawai Digital Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Prof Dr Ag Asri Ag Ibrahim; dan Ketua Program Pengurusan Pelancongan FPEP, Prof Madya Dr Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul.