Jabatan Kerajaan Tangani Isu Pembangunan Di Penampang – Ewon

Jabatan Kerajaan Tangani Isu Pembangunan Di Penampang – Ewon

0
SHARE
Ewon
Ewon ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang bertempat di Majlis Daerah Penampang ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Penampang )

PENAMPANG, SABAH – Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menyatakan jabatan-jabatan kerajaan sedang menangani isu-isu pembangunan di Penampang termasuk punca-punca yang menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek-projek pembangunan.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara punca kelewatan pelaksanaan dan penyiapan projek di Penampang ialah perlantikan juruperunding oleh jabatan teknikal, pengambilan dan pemilikan tanah, keperluan peruntukan tambahan pemindahan tiang dan kabel utiliti melibatkan pelbagai agensi dan ubahsuai skop projek yang melibatkan proses kelulusan.

Antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di Penampang ialah Projek Rancangan Tebatan Banjir Kawasan Lido, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, projek naiktaraf lebuhraya Penampang Kasigui, projek pembinaan SMK Kipouvo dan pemasangan lampu-lampu jalan serta pembinaan Tamu Donggongon dan klinik kesihatan Penampang.

Beberapa projek baharu yang dikenalpasti untuk dilaksanakan ialah pembinaan loji bekalan air terawat Moyog, jambatan Babagon Timpangoh dan sekolah baharu.

“Saya memantau sendiri prestasi pelaksanaan projek-projek pembangunan di Penampang termasuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah dan sekiranya ada keperluan untuk saya bangkitkan dengan rakan menteri, saya akan bawa kepada perhatian mereka.

“Bagaimanapun, saya gembira kerana semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam projek-projek pembangunan ini sedang menangani isu-isu dan punca-punca keterlewatan projek pembangunan. Saya berharap semua projek pembangunan ini dapat disiapkan seberapa segera yang boleh untuk manfaat kepada rakyat di Penampang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Penampang, di Majlis Daerah Penampang, hari ini.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, membincangkan pelbagai isu termasuk status semasa dan tindakan penyelesaian projek-projek pembangunan dalam daerah Penampang.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang.