Kejayaan Anak-Anak Bergantung Kepada Kerjasama Semua Pihak- Julita

Kejayaan Anak-Anak Bergantung Kepada Kerjasama Semua Pihak- Julita

0
SHARE
Julita
Julita (tengah) menyaksikan penyerahan cendera kenangan daripada Pandir (kiri) kepada Pengarah Pendidikan Sabah, Raisin Saidin yang diwakili oleh Sani ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat ADUN Matunggong )

MATUNGGONG, SABAH – Semua pihak perlu memastikan semua kanak-kanak sekolah diberikan sokongan yang padu untuk mereka mencapai cita-cita masing-masing, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki.

“Saya menegaskan bahawa semua pihak bermula dengan ibu bapa, ketua-ketua kampung, Pengerusi-pengerusi JPKK, imam-imam serta pengurus gereja yang murid-murid SMK Sikuati ll ini berada dalam kawalan masing-masing perlu menjalankan tugas mereka secara lebih berkesan.

“Apabila kita jalankan tugas dengan berkesan, proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah rendah (SK) akan lebih teratur dan menyeronokkan.

“Kesan yang baik sudah tentu akan menentukan hala tuju kepada pembelajaran mereka di sekolah menengah (SM),” katanya.

Menurut Julita, kejayaan cemerlang murid-murid dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah salah satu jalan untuk menggapai pelbagai kejayaan dalam sepanjang kehidupan mereka.

“Pendidikan adalah salah satu kaedah terbaik untuk mengubah status socio-ekonomi individu, keluarga, masyarakat, negeri dan negara pada masa akan datang. Tetapi, kejayaan seperti yang kita impikan ini tidak datang dengan jalan mudah.

“Semua kejayaan yang kita capai,yang kita lihat serta yang kita nikmati hari ini bermula dengan usaha, kudrat, perjuangan, pengorbanan serta titisan keringat dan air mata ibu bapa serta para pemimpin terdahulu.

“Tanpa usaha bersungguh-sungguh serta kerjasama padu serta berterusan kita tidak akan dapat melihat kejayaan,” kata beliau.

Tambahnya lagi, kemajuan dan kejayaan sekolah dipengaruhi oleh komitmen bersama terhadap mencapai visi dan misi sepunya yang telah digariskan oleh pihak sekolah.

Julita yang juga merupakan Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata demikian sempena Pelancaran Program Deklarasi (Deksil) dan Majlis Anugerah Kecemerlangan (MAK) SMK Sikuati II, Kudat yang diadakan di sini pada Rabu(23 Ogos).

Ujar beliau, program Deklarasi ini adalah satu menifestasi kepada pengukuhkan semula komitmen serta kesungguhan warga pendidikan di sekolah tersebut ke arah kemenjadian murid-muridnya.

“Saya melihat bahawa kejayaan sesuatu program atau sebarang bentuk perancangan di pelbagai peringkat banyak bergantung kepada kerjasama semua pihak yang terlibat.

“Kepada semua Guru Besar dan guru-guru Feeder School SMK Sikuati ll, tanggungjawab kalian begitu besar dan cukup signifikan kepada survival anak bangsa kita dalam dunia penuh cabaran ini.

“Saya mohon kepada kalian semua bantulah SMK Sikuati ll agar setanding dengan sekolah-sekolah lain seperti SMK Matunggong, SMK Pinawantai dan SMK Sikuati kawasan ini,” katanya.