PENAMPANG, SABAH – Notis penutupan premis oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) terhadap sebuah kedai ‘mamak’ di Taman Suria, di sini telah dikeluarkan sehari selepas penemuan ulat di dalam lauk ayam menjadi tular.
Pengguna Facebook, Roy Miller melepaskan kemarahannya terhadap Islamic Restoran pada laman media sosial tersebut pada Khamis.
Dakwanya, kedai itu menjual makanan yang telah dipanaskan berkali-kali sehingga basi dan dihinggap lalat.
Dalam satu rakaman video yang tular, beliau berkata telah sempat untuk menghabiskan seketul ayam sebelum muntah akibat penampakan jijik itu.
“Bukan di Penampang sahaja, tapi seluruh Sabah. Mereka berani buat di Sabah sahaja sebab mungkin tiada yang bersuara atau duit yang berbicara.
“Kamu tengoklah sendiri apa yang mereka kasi makan orang Sabah. Mengadu pun tiada guna,” katanya sambil menggesa orang ramai untuk memboikot restoran mamak.
Walau bagaimanapun, pautan di Facebook beliau yang berbaur unsur perkauman itu telah pun dipadamkan.
Notis penutupan dicetak pada kertas merah yang ditampal pada penutup menandakan bahawa kedai terbabit hanya boleh mula beroperasi semula pada 18 Mei.