Lepaking Six7 tampil wajah baharu, tawar lebih 400 menu untuk keluarga

Lepaking Six7 tampil wajah baharu, tawar lebih 400 menu untuk keluarga

0
SHARE

GOMBAK: Konsep pusat makan berkonsepkan santai dan mesra keluarga mampu menjadi platform membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan khususnya dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konsep perniagaan seperti diketengahkan Lepaking Six7 di Jalan Gombak itu bukan sahaja menyediakan ruang kepada peniaga tempatan, malah berpotensi menjadi tarikan kepada pengunjung pelbagai peringkat umur.

Menurut beliau, premis berkenaan turut menyediakan kemudahan mesra keluarga yang membolehkan ibu bapa membawa anak-anak menikmati suasana santai bersama.

“Model atau konsep perniagaan ini amat baik kerana bukan sahaja dapat memberikan ruang kepada ramai usahawan dan peniaga kita khususnya dalam sektor F&B, tetapi konsep ini juga boleh menjadi satu tarikan.

“Bukan hanya golongan muda, malah premis ini turut menyediakan kemudahan untuk keluarga datang bersama-sama,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Lepaking Six7 di sini pada Khamis.

Beliau berkata, pendekatan sedemikian mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda dan usahawan untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lepaking Six7, Ameerul Ikhwan Fozee berkata, penjenamaan semula premis berkenaan dilakukan bagi memberi pengalaman baharu kepada pelanggan dengan menampilkan konsep ‘family dining’.

Menurutnya, jenama Lepaking sudah dikenali sejak 10 tahun lalu sebelum tampil dengan identiti baharu sebagai Lepaking Six7.

“Kita tukar tema sedikit dengan memberi fokus kepada konsep makan bersama keluarga kerana mahu memberi peluang kepada pelanggan membawa keluarga menikmati suasana baharu.

“Kita menawarkan lebih 400 menu menerusi 19 gerai yang menyediakan pelbagai jenis makanan berbeza,” katanya.

Beliau berkata, antara keunikan premis itu ialah penyediaan bilik permainan kanak-kanak bagi memberi keselesaan kepada ibu bapa ketika menjamu selera.

Dalam pada itu, katanya, Lepaking Six7 turut menyediakan ruang berhawa dingin yang boleh memuatkan sehingga 120 orang untuk pelbagai acara termasuk mesyuarat korporat, sambutan hari jadi dan sidang media.

Premis berkenaan kini menempatkan 20 operator gerai makanan dengan pilihan menu masakan Melayu, Ala-Thai, Cina, Barat, Nusantara serta aneka kek dan pastri.

Penjenamaan semula tersebut turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila membuka peluang pendapatan kepada usahawan makanan serta lebih 30 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Gombak.