Masiung Banah Pertahan Kerusi Kuamut, Ditentang Lapan Penjuru

Masiung Banah Pertahan Kerusi Kuamut, Ditentang Lapan Penjuru

0
SHARE

KINABATANGAN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali lagi mempertahankan kedudukannya di kawasan tersebut selepas proses penamaan calon berlangsung di Dewan Sri Lamag, pagi kelmarin.

Naib Presiden Gagasan Rakyat berusia 53 tahun itu berdepan saingan lapan penjuru, menjadikannya antara kerusi paling sengit pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.

Tepat jam 9.13 pagi, Masiung menjadi antara calon terawal menyerahkan borang pencalonan.

Beliau dicabar oleh Norfaiza Chua (Warisan), Mohina Sidom @ Mohina Ronnie Sidom (UPKO), Abu Bakar Ellah—penyanyi dan pelakon veteran Sabah yang bertanding atas tiket PKDM, Jecronnue Mandek (STAR), John Sungkiang (PPRS), Ted Calvin Sudin (PIS) serta seorang calon Bebas, Duin Bintarang.

Ketibaan Masiung ke pusat penamaan calon disambut meriah lebih 1,000 penyokong, lengkap mengenakan baju dan logo GRS sambil melaungkan slogan “Tatap Kalaga” sebelum berarak ke dewan penamaan calon.

Pada PRN-16, Masiung menang sebagai calon Bebas dengan majoriti 978 undi sebelum menyertai Gagasan Rakyat.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd Yuesri Yusof, mengumumkan semua lapan calon layak bertanding selepas melepasi proses semakan dan saringan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).