TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited meneruskan agenda pembangunan negeri melalui kesinambungan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, yang telah meletakkan asas kukuh bagi menjadikan Sabah sebuah negeri unggul dan disegani di peringkat nasional.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata, mandat baharu daripada rakyat diperlukan bagi membolehkan kerajaan negeri memacu Sabah ke tahap lebih tinggi.
Berucap pada perjumpaan bersama jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan calon DUN Sulaman menegaskan bahawa pelaksanaan Hala Tuju SMJ sepanjang lima tahun lalu telah membuktikan keupayaan GRS mengurus negeri dengan baik dan berkesan. Beliau mengingatkan rakyat agar membuat pilihan bijak demi masa depan Sabah.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah memberi keutamaan kepada peningkatan taraf hidup rakyat, khususnya golongan miskin tegar melalui pemberian RM300 sebulan kepada kira-kira 100,000 ketua isi rumah dalam senarai e-Kasih.
Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Rumah Mesra SMJ, menyediakan 40 unit rumah bagi setiap DUN, jauh melebihi jumlah PPRT sebelum ini yang sekadar empat unit bagi setiap kawasan.
Hajiji berkata, GRS turut mengambil langkah tegas menyelesaikan isu legasi termasuk masalah air dan elektrik melalui pembinaan 18 loji rawatan air baharu, serta projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas.
Dalam aspek pendidikan, sebanyak RM1.3 bilion telah diperuntukkan bagi pembangunan modal insan, selaras dengan teras utama Hala Tuju SMJ.
Sambil membidas dakwaan pembangkang, Hajiji menegaskan bahawa mereka pernah menjadi kerajaan, baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan, namun gagal menyelesaikan masalah asas rakyat. Katanya, kerajaan GRS memilih untuk bertindak, bukan sekadar berjanji atau menabur retorik.
Mengulas suasana pilihan raya, beliau menyifatkan PRU Sabah ke-17 sebagai unik dengan penyertaan hampir 596 calon bagi 73 kerusi, namun yakin rakyat mampu memilih berdasarkan rekod pencapaian yang jelas.
Beliau turut memaklumkan bahawa jentera GRS Sulaman, seramai 2,500 anggota, berada dalam keadaan siap siaga dan akan turun padang untuk menerangkan kejayaan serta perancangan GRS kepada pengundi.
Hajiji menambah bahawa arahan sama turut disampaikan kepada semua jentera parti di kawasan lain bagi memastikan kemenangan GRS dalam pilihan raya kali ini.






