KOTA KINABALU, SABAH – Mendapatkan kuasa autonomi lebih penting daripada pertukaran nama kata Datuk Seri Yong Teck Lee.
Presiden Parti Maju Jaya Sabah itu berkata tiada keperluan segera ikut langkah Sarawak dalam menamakan semula ketua kerajaan.
Negeri jiran itu menggunapakai ‘Primier’ sebagai ganti gelaran Ketua Menteri dua hari yang lalu.
“Lebih banyak isu penting untuk diteruskan seperti mendapatkan semula hak Sabah yang hilang di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Namun katanya bagi Sabah, perubahan perlembagaan pertama adalah untuk mengembalikan semula panggilan Yang di-Pertua Negeri kepada Yang di-Pertua Negara, yang ditukar pada 1976…
Bekas Ketua Menteri Sabah itu juga berkata, kembali kepada gelaran asal ketua negara akan mencerminkan Sabah sebagai sebuah negara yang menyertai persekutuan Malaysia.
“Premier adalah ketua kerajaan dalam negara yang tidak mempunyai raja. Saya rasa Sabah dan Sarawak juga layak.
“Tetapi ‘perdana menteri’ adalah gelaran ketua kerajaan yang mempunyai raja.
“Perkara ini perlu dijelaskan sepenuhnya sebelum gelaran ‘Premier’ digunakan,” katanya.
Beliau berkata, persoalan itu tidak akan timbul bagi Melaka dan Pulau Pinang kerana mereka seperti negeri yang mempunyai Menteri Besar tidak mempunyai Kabinet tetapi hanya Exco.





