KIEV, UKRAINE – ‘Pergi mampuslah!’ Itulah kata-kata terakhir tentera Ukraine yang bertugas sebagai pengawal sempadan mempertahankan sebuah pulau kecil yang terkorban selepas mereka enggan menyerah kalah kepada tentera laut Rusia.
Seramai 13 orang anggota askar Ukraine yang terkorban itu dikatakan sedang mempertahankan Pulau Ular di wilayah Odessa yang berhampiran sekutu NATO Romania apabila mereka diserang tentera Rusia.
Dalam satu mesej radio, tentera Rusia di dalam kapal laut memberitahu tentera-tentera Ukraine: ‘Ini adalah kapal perang tentera Rusia. Saya cadangkan anda meletakkan senjata anda dan menyerah diri untuk mengelakkan pertumpahan darah dan kemalangan jiwa. Jika tidak, anda akan dibom.’
Walau bagaimanapun, tentera Ukraine dengan tegas enggan menyerahkan wilayah itu, dan sebaliknya menjawab: ‘Pergi mampuslah!’…
Tentera Rusia di radio juga kedengaran membalas balik dengan kata-kata kesat kepada tentera Ukraine, sebelum semua pengawal sempadan terbunuh dalam pengeboman udara.
Menurut laporan, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky turut mengesahkan bahawa semua tenteranya yang ditempatkan di pulau kecil itu terkorban.
Satu video yang tersebar di Twitter yang menunjukkan saat pulau itu dibedil. Ia menunjukkan seorang askar Ukraine merenung kamera sebelum peluru mendarat berhampiran.
Pada petang Khamis, kementerian dalam negeri Ukraine berkata Pulau Ular, yang juga dipanggil Zmiinyi, telah diserang oleh tentera Rusia.
Pulau itu dikawal oleh Ukraine tetapi terletak hanya beberapa batu dari pantai Romania.
Pulau Ular adalah penting secara strategik kerana ia akan membolehkan Rusia menuntut perairan wilayah sejauh 12 batu nautika ke laut.
Ianya meliputi saluran perkapalan yang penting ke bandar pelabuhan Odessa, Mykolaiv dan Kherson. Selepas mengambil alih pulau itu, Rusia boleh memotong saluran perkapalan, mengasingkan Ukraine daripada pasaran antarabangsa dan sekaligus mematikan ekonominya daripada hasil perdagangan penting.
Letupan kedengaran sebelum subuh di Kyiv ketika pemimpin Barat menjadualkan mesyuarat tergempar dan presiden Ukraine merayu bantuan antarabangsa.





