Lori 10 Tan Terbabas ke Dalam Longkang di Sapi Nangoh, Pemandu Cedera

Lori 10 Tan Terbabas ke Dalam Longkang di Sapi Nangoh, Pemandu Cedera

0
SHARE

SAPI NANGOH: Seorang lelaki berusia 42 tahun cedera selepas lori 10 tan yang dipandunya terbabas sendiri ke dalam longkang sedalam 10 kaki dalam kejadian di Jalan Berkat Setia, Sapi Nangoh, petang kelmarin.

Menurut Komander Operasi, PB Cliverenno Melikim dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 petang menerusi talian MERS999.

Sebuah jentera FRT bersama enam anggota digegaskan ke lokasi kejadian sejauh 50 kilometer dan tiba pada jam 5.40 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah lori 10 tan terbabas sendiri dan terjunam ke dalam longkang kira-kira 10 kaki dari jalan raya. Seorang mangsa lelaki telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diberikan rawatan awal,” katanya dalam kenyataan media.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi, sebelum dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi dan mendapati tiada bahaya lain yang wujud. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.00 petang.