KPDNHEP Sita Barangan Makanan Di Restoran, Pasaraya Bekalkan Makanan Tidak Halal

KPDNHEP Sita Barangan Makanan Di Restoran, Pasaraya Bekalkan Makanan Tidak Halal

0
SHARE

KUDAT, SABAH – Kegiatan sebuah restoran dan pasaraya yang membekalkan makanan tidak halal berjaya didedah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Operasi Bersepadu melibatkan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEINS), Pejabat Kesihatan Kawasan, dan Lembaga Bandaran Kudat (LBK) kemarin mengasingkan produk makanan yang mengelirukan itu.

“Susulan itu, dua tindakan telah dihasilkan oleh KPDNHEP Kudat dibawah Akta Perihal Dagangan 2011,” jelas agensi kerajaan tersebut.

KES PERTAMA melibatkan sebuah restoran yang membekalkan makanan dengan membuat representasi yang mengelirukan bahawa makanan yang dibekalkan oleh restoran terbabit adalah ‘HALAL’ atau boleh dimakan oleh orang Islam walhal tidak diperakukan sedemikian oleh pihak berkuasa berwibawa iaitu JAKIM.

KES KEDUA melibatkan sebuah pasaraya yang didapati ada menjual barang makanan yang diimport dari Negara China yang diperihalkan sebagai ‘HALAL’ walhal barangan tersebut tidak mendapat sebarang perakuan halal dari mana-mana badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Barang-barang tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan dianggarkan bernilai sebanyak RM1,148.10,” sumber berkata.

“KPDNHEP akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan secara proaktif berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan keseluruhan premis perniagaan khususnya yang menjual makanan dan minuman misalnya pengusaha restoran, gerai makan dan pasaraya sentiasa patuh kepada perundangan yang ditetapkan,” katanya.