SHAH ALAM: Kerajaan digesa untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ekoran kes penyelewengan yang ada dalam agensi tersebut berada pada tahap membimbangkan.
Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, antara tindakan yang boleh dibuat adalah pelantikan pengurusan tertinggi agensi tersebut perlulah daripada organisasi luar.
“Inilah satu-satunya cara untuk memutuskan rantaian hubungan ‘intim’ salah laku kuasa antara pihak atasan dengan pihak bawahan.
“Kebiasaannya salah laku dengan skala yang sebesar ini hanya akan berlaku jika ada kerjasama antara pihak bawahan dengan atasan,” katanya, memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya lagi, pembongkaran yang dilakukan itu sangat mengejutkan kerana ia dipercayai beroperasi hampir tujuh tahun lalu yang melibatkan RM4.7 juta.
“Apa yang mengejutkan juga adalah pembongkaran kedua sindiket rasuah selepas pendedahan 29 Mac lalu yang bernilai RM2 bilion turut melibatkan anggota kastam.
“Lebih mendukacitakan, kelemahan pihak pengurusan tertinggi agensi berkenaan dalam membendung amalan rasuah sedangkan salah laku ini telah berlaku sejak sekian lama. Tindakan tegas dan menyeluruh perlu dilakukan segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sindiket yang dilumpuhkan dalam Ops Samba baru-baru ini dengan menggunakan modus operandi ‘forwarding agent’ yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.
Menurut sumber, pegawai kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiaran serta pemeriksaan yang sepatutnya.
Tambah sumber itu lagi, sindiket tersebut dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa sejak 2017 hingga 2024.






