TIDAK PERLU BERFIKIR DUA KALI DALAM SOAL KESELAMATAN – KM HAJIJI

TIDAK PERLU BERFIKIR DUA KALI DALAM SOAL KESELAMATAN – KM HAJIJI

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri tidak teragak-agak dalam memperkukuhkan keselamatan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Keselamatan adalah yang paling penting dan kita akan memberikan kerjasama yang terbaik apabila mempertimbangkan perkara yang memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri,” katanya.

Bercakap selepas taklimat oleh Polis Diraja Malaysia mengenai situasi keselamatan semasa di Sabah yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Menara Kinabalu dekat sini hari ini, Hajiji berkata keselamatan negeri adalah agenda teratas.

“Saya telah membangkitkan isu ini selama ini. Yang terbaru semasa mesyuarat Khas Majlis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semalam (dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)…

“Saya telah meminta pertambahan peruntukan bagi mengukuhkan aset keselamatan kita terutamanya di Pantai Timur,” katanya.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berbincang dengan KPN Tan Sri Acryl Sani sebelum taklimat di Menara Kinabalu…

Ketua Menteri mengulangi gesaannya untuk pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (GOF) di sempadan Malaysia – Indonesia di Pulau Sebatik dinaik taraf.

Hajiji telah melawat tiga pos luar GOF iaitu Burst-Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu awal minggu ini.

Semasa taklimat itu, Ketua Menteri diberitahu bahawa dua batalion baru GOF akan ditetapkan di Nabawan dan Kunak sebagai tambahan kepada lima batalion sedia ada di negeri ini.

Dengan tujuh batalion GOF, Sabah akan mempunyai kehadiran GOF terbesar di negara ini.

Turut dicadangkan ialah penubuhan Komando Skuadron 69 di Lahad Datu, Pangkalan baru polis marin Sabah di Kampung Lok Poring, Sepanggar dan pusat latihan polis (Pulapol) di Kampung Laya-Laya, Tuaran.

Atas permintaan penambahan kawasan di pangkalan unit udara polis di Tanjung Aru, Hajiji memaklumkan bahawa ia telah pun diluluskan.

Acryl turut diiringi Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Idris Abdullah serta pegawai-pegawai kanan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Sabah.

Turut hadir pada taklimat itu ialah Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Yusof, Setiausaha Hal Ehwal dan Penyelidikan Sabah Datuk Awang Shaminan Sahari dan Timbalan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri Zulkifli Abidin.