Calon BN Sabah Bertanding Dalam PRU15 Jangan Leka, Terlalu Yakin Boleh Menang

Calon BN Sabah Bertanding Dalam PRU15 Jangan Leka, Terlalu Yakin Boleh Menang

0
SHARE
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama calon Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup bergambar bersama orang ramai selepas Majlis Ramah Mesra Timbalan Ketua Menteri I bersama Penduduk di Mukim Transpegalan bertempat di Padang Awam Kampung Panagatan Ulu...(Sumber Foto: Ihsan BN Parlimen Pensiangan)

KENINGAU, SABAH – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Bung Moktar Radin mengingatkan semua calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mewakili parti itu agar jangan terlalu yakin dapat menang dalam pilihan raya terbabit.

Katanya, semua calon BN sebaliknya harus melipat gandakan lagi usaha untuk meraih kepercayaan rakyat mengundi BN apabila tiba hari mengundi kelak.

“Saya sudah nyatakan walaupun ada peluang tetapi kita jangan menerima sesuatu begitu saja (take things for granted)…

“Jangan terlalu yakin untuk menang tetapi yakinlah kita boleh melakukan sesuatu sekiranya kita terus melipat gandakan usaha.

“Itu yang penting sama ada BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memperkukuhkan kempen untuk memastikan kemenangan calon kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Ramah Mesra Timbalan Ketua Menteri I bersama Penduduk di Mukim Transpegalan bertempat di Padang Awam Kampung Panagatan Ulu, hari ini.

Turut hadir, calon Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Kurup.

Sementara itu, Bung juga turut berkata pihaknya amat cakna dengan lanskap politik zaman kini yang mencabar.

Tambahan lagi, PRU15 kali ini bakal menyaksikan pengundi berumur 18 tahun ke bawah yang bakal mengundi buat kali pertama.

Sehubungan dengan itu, Bung berpendapat BN Sabah harus mempelbagaikan lagi strategi mendekati golongan pengundi muda ini.

“Politik ini dinamik dan hidup. Apabila ia hidup hidup bermakna sesuai dengan penerasan kerajaan Persekutuan untuk membenarkan pengundi muda 18 tahun ke atas ini mengundi…

“Bermakna politik bukan lagi berada dalam zon selesa jadi kita perlu mempelbagaikan strategi. Mahu menang kita buat kerja seperti cara orang mahu menang, strategi kita strategi orang mahu menang…

“Bermakna, akan ada platform untuk berhubung dan berkomunikasi dengan pengundi muda ini kerana mereka adalah pengundi pertama kali.

“Mereka tidak faham apa itu politik, tidak faham macam mana membuat undi dan sebagainya jadi kita perlu ada ‘engagement’ dengan mereka,” katanya.