Tekong Lolos, Bot Dan Minuman Keras Disita

Tekong Lolos, Bot Dan Minuman Keras Disita

0
SHARE

LABUAN – Sebuah bot gentian kaca yang membawa muatan minuman keras disita, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, pada jam 1:00 pagi, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera dan Op Khas Kuda Laut telah mengesan sebuah bot yang bergerak daripada Labuan menuju ke tanah besar Sabah dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika ingin diperiksa, bot berkenaan terus memecut laju menuju ke kawasan paya bakau di persisiran Mempakul, Sabah…

“Hasil pencarian di sekitar kawasan tersebut menemui sebuah bot gentian kaca yang ditinggalkan beserta 1680 tin minuman keras yang dipercayai ingin dibawa keluar tanpa cukai daripada Jabatan Kastam Di Raja Malaysia,” jelasnya.

Katanya lagi, bot dan muatan berkenaan disita dan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Usaha-usaha mengesan pelaku yang memboloskan diri akan dilaksanakan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” ujar beliau.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang salahlaku jenayah di laut.