
TUARAN, SABAH – Sebanyak 134,794 pokok telah ditanam di seluruh Sabah setakat ini dalam usaha untuk mencapai sasaran penghijauan negeri iaitu melalui penanaman sebanyak 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033.
Pembantu Menteri I Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kesemua 134,794 pokok itu ditanam melalui pembangunan di kawasan perumahan, komersial, industri, taman awam dan kawasan hijau yang lain.
“Angka ini masih terlalu rendah untuk kita banggakan. Oleh itu, saya menyeru kepada semua terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mempergiatkan usaha dan program kemasyarakatan bagi menyuntik semangat hijau di kalangan masyarakat demi mencapai sasaran yang ditetapkan kementerian ini iaitu 1.3 juta pokok menjelang tahun 2033 bagi negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Inisiatif Penghijauan Lestari, Aspirasi Negeri Taman Terindah KKTP (I P.L.A.N.T.) di Projek Perumahan Rakyat Gayang Ria II, di sini, pada Jumaat.
Program I P.L.A.N.T. bertujuan untuk membudayakan kecintaan terhadap landskap dengan menyelaras usaha yang melibatkan kesedaran dan penglibatan awam dalam pemeliharaan landskap seperti yang terkandung dalam Dasar Landskap Negeri Sabah.
Menurut Isnin, pelaksanaan program ini juga adalah bagi menyokong hala tuju yang dinyatakan di dalam The 2030 Agenda For Sustainable Development, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, Dasar Landskap Negeri Sabah, Sasaran Penanaman 1.3 juta Pokok Menjelang Tahun 2033 Negeri Sabah dan Inisiatif KKTP Ke Arah Masyarakat Rendah Karbon.
“Selain daripada menyokong usaha-usaha memampankan persekitaran, program ini juga bermatlamatkan pembudayaan masyarakat rendah karbon ke arah kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari.
“Bagi mencapai matlamat tersebut, salah satu strategi pelaksanaan adalah melalui pembentukan Komuniti HIJAU di mana Tindakan Bersepadu PBT dan Masyarakat diwujudkan melalui anjuran program ke arah usaha hijau dan seterusnya melahirkan komuniti yang berdaya huni.
“Program secara usaha sama ini diharapkan dapat memberi kesedaran tentang kepentingan penanaman pokok yang menyumbang kepada peningkatan proses penyerapan karbon serta mencapai matlamat mewujudkan bandar rendah karbon di samping memelihara dan memulihara alam sekitar dengan mengembalikan semula sumber hijau dalam persekitaran.
“Inisiatif sebegini juga dilaksanakan bersama PBT di Sabah, agensi awam seperti Jabatan Perhutanan Sabah, sekolah-sekolah dan dan agensi swasta seperti Sabah Wetlands Conservation Society.
“Melalui program I P.L.A.NT. ini sebanyak 3,228 pokok telah diedar dan ditanam bersama agensi yang terlibat. Usaha penghijauan ini adalah bagi membantu sasaran negeri dalam mencapai jumlah penanaman pokok sebanyak 1.3 juta menjelang tahun 2033,” jelasnya.





