LUBNAN: Pasukan MALBATT 850-12 telah menganjurkan sambutan perayaan Gawai dan Kaamatan di Dewan Pahlawan, Kem Tibnin, pada Ahad bagi meraikan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak serta memperkenalkan warisan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa di bawah misi UNIFIL.
Majlis turut dihadiri Komander Sektor Barat, Brigedier Jeneral Nicola Mandolesi, komander batalion, dan pegawai pelbagai negara.
Antara tarikan utama ialah persembahan tarian Ngajat, Alu-Alu dan Sumazau, hidangan tradisional, serta Upacara Potong Ranyai.
Komander MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh turut menyampaikan cenderamata berupa Parang Ilang dan perisai Terabai kepada tetamu kehormat, simbol warisan dan keberanian masyarakat Dayak.
Sambutan itu mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia serta hubungan kerjasama antara kontinjen antarabangsa di bumi Lubnan.






