KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah akan terus menghulurkan bantuan kepada semua keluarga di negeri ini agar dapat meneruskan kehidupan mereka dalam era pasca pandemik.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai bantuan telah diberikan khususnya kepada keluarga yang terjejas.
“Bantuan dalam bentuk makanan dan wang telah disalurkan melalui Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0, 2.0 dan terkini 3.0 kepada mereka yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Berucap sempena pelancaran ‘Bulan Keluarga Malaysia’ peringkat negeri anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri hari ini, Ketua Menteri berkata hasil kajian mengenai cabaran dan tekanan ibu bapa dalam menghadapi gelombang baharu wabak COVID-19 telah menunjukkan bahawa 79.9 peratus (79.9%) keluarga telah terjejas oleh gelombang ketiga.
“Oleh itu, adalah penting institusi keluarga diberi sokongan dalam menangani isu berkaitan COVID-19. Kita bertuah kerana pemimpin negara kita komited untuk memulihkan negara daripada masalah dan kesan pandemik…
“Pendekatan Keluarga Malaysia Perdana Menteri adalah paling tepat,” katanya.
Hajiji berkata tinjauan mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap tingkah laku dan mata pencarian, bekerja dari rumah serta perancangan keluarga yang dijalankan LPPKN di negara ini menunjukkan bahawa seorang daripada empat responden berkata terdapat perubahan besar dalam kehidupan mereka.
Kesan yang paling ketara ialah terhadap pengurusan kewangan keluarga dengan 49 peratus (49%) responden tidak lagi makan di luar, 44 peratus (44%) mengurangkan perbelanjaan bulanan, 40 peratus (40%) lagi perlu mencungkil simpanan mereka dan 28 peratus (28%) perlu mencari kerja sambilan dalam ekonomi gig.
“Walaupun terpaksa hidup dengan COVID-19, ia tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ikatan ibu bapa dan anak yang kukuh akan bertindak sebagai barisan pertahanan pertama untuk membantu ahli keluarga yang menghadapi tekanan dan kesan negatif akibat pandemik,” katanya.
Ketua Menteri berharap pihak swasta, NGO dan masyarakat turut memainkan peranan mereka bagi memastikan program kesejahteraan keluarga dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Saya juga berharap Bulan Keluarga Malaysia yang disambut setiap November mampu menyatukan keluarga Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi dan COVID-19,” katanya lagi.





