PAPAR, SABAH – Kempen Belilah Barangan Buatan Sabah yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor awal tahun ini menunjukkan impak positif sekaligus merancakkan kembali sektor perniagaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik melalui peningkatan pembelian dan penggunaan produk tempatan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, kempen anjuran Kementeriannya ini dapat meningkatkan kesedaran tentang kewujudan dan kualiti barangan buatan tempatan di negeri ini.
“Oleh itu, saya ingin menyeru semua lapisan masyarakat untuk menyahut kempen Kerajaan yang bertemakan “Belilah Barangan Buatan Sabah, Mantap bah ini gaman!”,” katanya semasa merasmikan pembukaan Pusat Produk IKS Sabah (IKS Mart Papar) di Papar Square, di sini, hari ini.
Menurut Dr. Joachim, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), telah melaksanakan beberapa program untuk membantu usahawan Sabah, seperti bantuan meningkatkan mutu produk melalui pemberian mesin, kursus-kursus pembungkusan (packaging) dan perlabelan, dan bantuan pemasaran produk IKS (industri kecil dan sederhana) melalui kerjasama dengan Kedai Mesra PETRONAS dan Pasaraya BATARAS.
Selain itu, katanya, MID melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) juga sedang dalam usaha berkolaborasi dengan GM Klang, Pasaraya Segi Fresh dan Fasarina Express Mart Labuan bagi memasarkan produk buatan Sabah.
“DIDR juga telah mewujudkan kedai IKS di Kota Kinabalu, Beaufort, Ranau dan pada hari ini di Papar…
“Ini bertujuan untuk memasarkan produk Sabah dan membantu usahawan yang mengendalikan kedai IKS.
“Kedai IKS ini diwujudkan khas untuk membantu pengusaha (usahawan) menjadi ‘taukeh sendiri’…
“Kita bantu sedikit tetapi pengusaha perlu membantu diri sendiri dengan lebih berlipat kali ganda,” katanya.
Beliau berkata, jumlah hasil jualan melalui kolaborasi dengan pasaraya Bataras, Kedai Mesra Petronas, Pusat Produk IKS di Kota Kinabalu, Beaufort dan Ranau semenjak program-program ini dimulakan telah mencapai RM5.9 juta.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada DIDR atas pencapaian ini. Saya menyeru semua usahawan Sabah terus menyokong IKS Mart yang telah dibuka dengan menghantar produk-produk mereka termasuk di IKS Mart Papar yang dibuka hari ini yang menjual sekurang-kurangnya 80% daripada produk-produknya adalah terdiri daripada barangan buatan Sabah.
“Bantuan Kerajaan ini tidak dapat diberikan sepanjang masa kepada usahawan. Bagi yang sudah menerima bantuan, diharap akan mempertingkatkan lagi prestasi sendiri,” tambahnya.
Dr. Joachim juga berharap Pusat-pusat Produk IKS yang telah dalam perancangan di daerah Tuaran, Kota Marudu, Keningau Tawau dan lain-lain dapat direalisasikan dengan secepat mungkin agar produk-produk buatan Sabah dapat dipasarkan ke setiap pelusuk negeri Sabah.
“Kementerian saya mahu para usahawan bukan sahaja memfokuskan kepada pasaran domestik tetapi perlu berpandangan lebih jauh ke hadapan dengan memasarkan produk mereka ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Dalam hal ini, pihak DIDR telah membawa para pengusaha ke luar negara dalam acara ekspo-ekspo luar negara iaitu di World Dubai Expo 2020, Thaifex 2022 serta Malaysia Fest 2022 di Singapura dan juga ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada bulan Ogos nanti.
“Ini merupakan cara kita membantu usahawan IKS mempromosi dan memasarkan produk mereka ke peringkat global. Penyertaan usahawan tempatan ke ekspo pameran luar negara ini merupakan platform penting untuk memberi pendedahan serta mencari peluang-peluang perniagaan yang baharu,” ujarnya.
Menyentuh tentang Pusat Produk IKS Papar ini, beliau berkata, ia merupakan pusat jualan produk IKS yang keempat selepas Kota Kinabalu, Beaufort, Ranau yang telah beroperasi dengan lancarnya.
“Saya juga ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur yang diterajui oleh Pengarah DIDR kerana berjaya menganjurkan majlis perasmian pusat IKS Sabah daerah Papar pada pagi yang mulia ini,” katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Mohd. Tamin Zainal serta Pejabat Daerah Papar dan semua agensi yang terlibat menganjurkan majlis pada pagi ini dengan jayanya.