KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara Kedua selepas Pelabuhan Klang, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A Suan.
Menurutnya, dengan penaiktarafan dan pengisytiharan itu akan memudahkan proses mobilisasi industri eksport bagi komoditi utama Sabah yang melibatkan sektor prima seperti pertanian, pembuatan serta mengaktifkan aktiviti perkapalan domestik dan antarabangsa.
Katanya, cadangan itu juga akan memperkasakan dan merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi merentasi wilayah, mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan wilayah melalui aktiviti eko-pelancongan, menggalakkan pelaburan langsung asing.
Ini secara tidak langsung juga mengatasi dan mengimbangi perbezaan besar nilai harga bahan mentah serta harga barangan keperluan di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Justeru saya mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk mewujudkan strategi prima dan mekanisme ‘menang-menang’ bagi menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai pusat pemunggahan negara yang kedua selepas Pelabuhan Klang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, semalam.
Bobbey berkata, beliau mengulangi seruan yang pernah disuarakan pada Persidangan Dewan Negara tahun lalu kerana ianya belum dijawab oleh kementerian yang bertanggungjawab.
Katanya, untuk meringankan beban kerajaan selain memastikan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road siap mengikut jadual yang telah ditetapkan, kerajaan Persekutuan perlu mengelakkan pembinaan jalan laluan baru.
Sebaliknya, harus mengambil alih dan menaiktaraf semua laluan balak sedia ada yang pada dasarnya juga merupakan laluan utama masyarakat setempat.






