Teroka Bidang Baharu Yang Mampu Bawa Pembangunan – Joachim

Teroka Bidang Baharu Yang Mampu Bawa Pembangunan – Joachim

0
SHARE
Joachim
Joachim (empat dari kanan) menerima cendera kenangan daripada Joseph sambil disaksikan oleh Isnin (tiga dari kanan), Jamili (dua dari kanan) serta tetamu yang hadir dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan di Dewan Sri Tawau ( Sumber Foto: Ihsan KKTP )

TAWAU, SABAH – Ahli-ahli majlis bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diminta untuk meneroka bidang baharu yang mampu membawa pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kawasan yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata mereka perlu bersedia untuk meneroka bidang baharu selain berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk kemajuan sesuatu kawasan demi memberi keselesaan dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ahli-ahli Majlis dan PBT perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sebagai kerajaan ketiga dalam struktur pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau yang diadakan di Dewan Sri Tawau, di sini, hari ini.

Joachim turut berkata, amanah dan tanggungjawab tersebut amat berat dan penting kerana mereka adalah pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Menurutnya, barisan ahli-ahli majlis terutama yang baharu perlu mengetahui matlamat PBT dan Dasar Kerajaan Negeri dalam melaksana kewajipan dan tugas masing-masing.

Beliau menegaskan, lantikan itu bukanlah satu keistimewaan malahan ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di daerah Tawau.

“Pelantikan ini juga bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun ahli keluarga masing-masing.

“Malahan, tanggungjawab dan amanah semua ahli adalah berat dan sangat penting untuk masa depan daerah Tawau.

“Ahli-ahli majlis perlu terus peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertangungjawab untuk menyumbang idea dan kepakaran dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan MPT,” katanya lagi.

Selain daripada itu, sebagai pemimpin masyarakat, beliau menyeru kepada semua ahli majlis untuk turun padang melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

“Inilah tugas yang saya sering katakan menjadi tidak popular dalam kalangan sebahagian pihak untuk memenuhi keperluan sebahagian pihak yang lain,” katanya.

Beliau menyeru agar barisan kepimpinan baharu ini berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan PBT serta dapat melaksana amanah kerajaan dan masyarakat tempatan yang diwakili dengan penuh integriti.