Tan Sri Bernard Dilantik Pengerusi SME Corp Yang Baharu

Tan Sri Bernard Dilantik Pengerusi SME Corp Yang Baharu

0
SHARE
Ewon
Tan Sri Bernard (kedua kiri) menyerahan surat pelantikan kepada Ewon ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok dilantik sebagai Pengerusi SME Corp Malaysia yang baharu.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah SME Corp di pejabat menteri, di sini, hari ini.

Beliau berharap dengan pelantikan pengerusi dan ahli lembaga pengarah yang baharu mewakili Dewan Perniagaan Melayu, India, Cina, Kadazandusun dan Dayak akan membantu kerajaan khususnya kementerian memberikan perkhidmatan terbaik kepada usahawan SME di seluruh negara.

“Kementerian kita khususnya SME Corp menghadapi cabaran besar memenuhi pelbagai keperluan usahawan SME di seluruh negara, tetapi saya percaya dengan gabungan pemimpin baharu dan sedia ada, SME Corp dapat memberikan perkhdimatan yang baik kepada rakyat khususnya usahawan SME,” katanya.

Anggota perbadanan SME Corp yang lain ialah Noor Afifah Abdul Razak, Datuk Dr.Zunika Mohamed, Datuk Koong Lin Loong, Bell Aggan @ Bell Ak Bernard Aggan, Datuk Ladislaus Maluda, Ir.Ter Leong Leng, Prof.Dato’ Dr. Haji Abdul Razak Haji Omar dan Cham Owi Tong.

Ewon turut mengulangi komitmennya untuk terus membantu usahawan PMKS, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

“Saya telah mengatakan kepada warga kementerian bahawa tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada di seluruh negara, saya mahu fokus tambahan untuk Sabah dan Sarawak.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sering menyebut keperluan untuk memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak.

“Dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) 2023 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini juga bersetuju bukan sahaja fokus tambahan tetapi belanjawan tambahan untuk Sabah dan Sarawak.

“Bukan kita mengabaikan kawasan lain, cuma ada keperluan yang lebih besar untuk kita membantu Sabah dan Sarawak yang selama ini merasakan mereka terpinggir dari arus pembangunan termasuk dalam bidang keusahawanan,” katanya.