Ironis Bagaimana JKDM Diperluaskan Ke Sabah Tanpa Persetujuan Kerajaan Negeri – Joniston

Ironis Bagaimana JKDM Diperluaskan Ke Sabah Tanpa Persetujuan Kerajaan Negeri – Joniston

0
SHARE
Joniston
Joniston bersalaman dengan Ketua Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran Jinik Boliking sebaik tiba di Pesta Kaamatan Kampung Tiong Ratau pada Sabtu ( Sumber Foto: Ihsan pejabat ADUN Kiulu )

KOTA KINABALU, SABAH – Ironis apabila Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) di bawah Kementerian Persekutuan Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah diperluaskan ke Sabah tanpa persetujuan kerajaan Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata perkara itu menimbulkan persoalan tentang kerelevanan JKDM di Sabah dan sama ada ia mempunyai motif politik, lebih-lebih lagi UMNO Sabah bukan lagi sebahagian daripada pentadbiran pimpinan Gabungan Rakyat Sabah.

Beliau berkata jika inisiatif itu benar-benar bertujuan memberi manfaat kepada rakyat negeri Sabah, ia sepatutnya dilaksanakan dengan penglibatan kerajaan Sabah.

Berucap pada majlis pelancaran Pesta Kaamatan Lembah Mukim Kiulu, Joniston turut menyatakan pertindihan antara JKDM dan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sedia ada sambil menambah bahawa tindakan sedemikian akan memecahbelahkan rakyat.

“Kenapa kita perlukan dua badan untuk menguruskan peruntukan untuk kampung? Bukankah lebih baik kita beri autonomi kepada kerajaan Sabah supaya kita dapat menyalurkan dana mengikut keperluan di kawasan masing-masing?

“Biar kerajaan pusat menyalurkan dana kepada kerajaan negeri, dan memperuntukkan kepada setiap JKKK untuk melaksanakan kerja-kerja pembangunan di kawasan masing-masing. Itulah maksud autonomi,” kata Joniston, yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau berkata, ramai rakyat Sabah berpandangan bahawa langkah penubuhan JKDM adalah sama dengan menentang usaha Sabah untuk mendapatkan autonomi yang kononnya sedang diperjuangkan Umno Sabah.

Joniston, yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu (PBS) Sabah, menjawab kritikan berikutan ulasannya baru-baru ini mengenai kerelevanan penubuhan JKDM di Sabah, sambil menambah bahawa beliau hanya meminta penjelasan.

“Saya cuma ingin tahu rasional langkah JKDM, tetapi mereka bertindak seperti cacing kepanasan. Saya juga tertarik kenapa jawatankuasa ini tidak dipanjangkan ke Sarawak? Adakah kerana tiada UMNO di sana?” tanya beliau.