‘Bagai Sirih Pulang Ke Gagang’, Rozaimi Kembali Bersama Sabah FC

‘Bagai Sirih Pulang Ke Gagang’, Rozaimi Kembali Bersama Sabah FC

0
SHARE
Sumber: Foto Ihsan Sabah FC

KOTA KINABALU: ‘Bagai Sirih Pulang Ke Gagang’, perumpamaan demikian sesuai dengan hasrat penyerang berbisa pasukan Sabah FC, Rozaimi Abdul Rahman untuk kembali menabur bakti bersama kelab negerinya, (Sabah FC) yang akhirnya menjadi kenyataan apabila ditawarkan kontrak bermain musim 2024/2025.

Bagaimanapun, Pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, Sabah FC dan Rozaimi mencapai kata sepakat apabila beliau hanya akan bermain dan berlatih bersama-sama pasukan MFL U23 Sabah FC, lapor officialsabahfc.

“Sabah FC memanggil semula Rozaimi kerana beliau berpengalaman luas dalam bola sepak dan merupakan ikon yang dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Kontrak itu di Pejabat Sabah FC, di sini, hari ini.

Selain Rozaimi, Johnny Dominicus turut dilantik sebagai Ketua Jurulatih bersama-sama Vun Kit Ming @ Billyton dan Razlan Oto yang masing-masing dilantik sebagai Pembantu Jurulatih Sabah FC U23.

Katanya, bekas jurulatih penjaga gol U23 tahun lalu, Rozaimie Rohim turut menandatangani kontrak sebagai Jurulatih Penjaga Gol Sabah FC U23.

“Kesemua mereka ditawarkan kontrak untuk musim 2024/2025.

“Skuad Sabah FC U23 merupakan skuad transisi bagi memilih komposisi pemain-pemain lokal seperti yang diingini majoriti penyokong-penyokong tempatan,” katanya.

Joh pada masa sama, amat mengalu-alukan perlantikan kesemua jurulatih dan Rozaimi selaras dengan misi kelab.

Hadir sama menyaksikan majlis itu, Pengurus Pasukan MFL U23, Sabah FC, Datuk Abdul Kassim Razali, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Shamsudin Mohd Shah, Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Muhd Arziz Afizy Rumsani dan Ketua Pegawai Operasi Sabah FC, Syazwan Imran.