Jangan Sisihkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas – Peto

Jangan Sisihkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas – Peto

0
SHARE
Peto
Peto (tengah) bergambar kenangan bersama atlet-atlet ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) tidak boleh disisihkan, kata Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Peto Galim.

Menurutnya, MBPK perlu sentiasa dibimbing dan digilap dalam semua bidang demi masa depan yang sempurna dan terjamin.

“Ramai daripada kita tidak menyedari MBPK ini memerlukan perhatian dan bimbingan khusus dalam semua aspek.

“Jika anak-anak ini dapat digilap maka banyak pencapaian hebat dapat mereka capai.

“Sebagai sebahagian daripada masyarakat madani, kita perlulah memainkan peranan lebih berkesan dan memberi perhatian khusus dalam membantu MBPK agar mereka tidak tercicir dalam arus pembangunan negara,” ujarnya ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Daerah Kota Kinabalu di Stadium Likas, pada Sabtu.

Peto berkata kejohanan tersebut diadakan bertujuan membantu MBPK agar boleh bekerjasama dalam satu pasukan, membentuk daya saing, komited dan berdisiplin.

“Acara seperti ini memberi peluang kepada setiap MBPK yang terlibat untuk saling kenal mengenali satu sama lain dengan lebih erat lagi.

“Selain itu, kejohanan ini dapat menjadi landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat saling hormat menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi,” tambahnya.

Seramai 226 atlet daripada 11 sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang mempunyai MBPK dalam daerah Kota Kinabalu mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Suhaimi Matshah. — JABATAN PENERANGAN SABAH