WASHINGTON – Seseorang individu didakwa akan mengalami pengurangan jangka hayat sehingga LIMA (5) tahun sekiranya menjadi obes pada usia pertengahan tahun, demikian menurut satu kajian di Amerika Syarikat (AS).
Kajian itu dijalankan oleh pasukan penyelidik dari Universiti Northwestern di Chicago dan diterbitkan menerusi jurnal JAMA Network Open.
Memetik laporan Mail Online, para pengkaji berkenaan menjalankan kajian terhadap hampir 30,000 orang yang berusia sehingga 50 tahun dan hasilnya mereka mendapati bahawa individu yang mempunyai berat badan sihat secara purata meninggal dunia pada usia 82.3 tahun.
Individu dalam kategori paling gemuk atau ditakrifkan mempunyai indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 40 pula dijangka mampu hidup hanya sehingga berusia 77.7 tahun.
Mereka yang mengalami obesiti sederhana iaitu kira-kira satu perempat daripada orang dewasa di Britain dan hampir separuh penduduk AS pula akan hilang jangka hayat selama hampir dua tahun.
Bagaimanapun, hampir tiada perbezaan dalam jangka hayat yang dikesan antara individu yang mempunyai berat badan berlebihan (BMI antara 25 dan 29).
Penyelidik bagaimanapun tidak membahagikan hasil kajian mengikut punca, namun menyatakan bahawa orang gemuk lebih berkemungkinan mengalami komorbiditi.
Ini kerana berat badan berlebihan akan menyebabkan keradangan dan timbunan lemak berkembang dalam arteri, seterusnya memberi tekanan pada jantung dan organ penting yang lain.