Kes SRC Najib Razak: Penghakiman Berbeza Bukan Alasan Perbicaraan Semula

Kes SRC Najib Razak: Penghakiman Berbeza Bukan Alasan Perbicaraan Semula

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Keputusan majoriti 4 berbanding 1 terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bermakna kes SRC International dianggap res judicata yang bermakna ia sudah diadili mahkamah yang berwibawa.

Dengan itu, penghakiman berbeza dalam permohonan semakan kes bukanlah alasan untuk semakan atau perbicaraan semula pada masa hadapan, kata Badan Peguam Malaysia.

Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah berkata perlu difahami bahawa penghakiman berbeza dalam sistem perundangan Malaysia hanyalah bermaksud perbezaan pendapat dan penghakiman majoriti yang sebenarnya diguna pakai.

“Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sebarang tafsiran lain akan menjadi songsang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Oleh itu, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti membingungkan orang ramai mengenai prinsip-prinsip undang-undang yang kukuh dalam sistem keadilan.

“Kita hanya akan menyumbang kepada usaha merosakkan keyakinan yang diletakkan terhadap kehakiman sebagai institusi yang dihormati,” katanya menerusi satu kenyataan.

Cheah menegaskan bahawa perlu ada kepastian dalam hal litigasi dan struktur undang-undang dan jika pendapat minoriti menyebabkan semakan semula, maka tidak akan berlaku kesudahan untuk litigasi.

Katanya, selain itu, ia juga akan membuka pintu kepada peguam dan hakim yang terdedah kepada “strategi yang tidak menyenangkan” atau “pengaruh luar” dengan menggunakan situasi semakan semula untuk menghalang jalan keadilan.