Kerajaan Diminta Pertimbang Rumah SMJ Bertingkat di Kawasan Padat Seperti Petagas

Kerajaan Diminta Pertimbang Rumah SMJ Bertingkat di Kawasan Padat Seperti Petagas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Perumahan Luar Bandar (KPLB) diminta untuk mempertimbangkan cadangan evolusi pembinaan Rumah Mesra SMJ bertingkat (konsep high-rise yang mesra rakyat) khusus di kawasan padat seperti Petagas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Awang Ahmad Sah Sahari yang mencadangkan perkara itu berkata, model itu dilihat sebagai solusi jangka panjang bagi kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Ini supaya peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya tanpa terhalang oleh ketiadaan lot tanah individu,” katanya ketika berbahas di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 pada Selasa.

Dalam pada itu, Awang turut menyentuh sinergi dalam pengurusan tapak pembinaan di Lok Kawi dan Papason diteliti semula potensi bilangan unit Rumah Mesra SMJ yang boleh dibina.

“Memandangkan kawasan tersebut telah melalui proses penimbusan yang rapi, saya memohon agar pihak KPLB dapat duduk bersama untuk kita meneliti semula potensi bilangan unit rumah yang boleh dibina.

“Harapan saya adalah agar kita dapat memaksimumkan penggunaan ruang yang sedia ada supaya lebih ramai keluarga yang layak di kawasan Petagas dapat menikmati manfaat ini dalam masa terdekat,” katanya.

Tegas Awang lagi, matlamat beliau hanyalah untuk memastikan setiap peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan negeri sampai kepada golongan sasaran dengan cara yang efisien.

“Saya percaya, dengan nasihat dan kepakaran daripada pihak teknikal KPLB, kita mampu mencari jalan menang-menang dalam menyantuni keperluan perumahan rakyat, terutamanya bagi pasangan muda dan golongan yang memerlukan.

“Saya sentiasa terbuka untuk berbincang dengan lebih lanjut bersama pihak Menteri dan warga KPLB demi kesejahteraan rakyat di DUN Petagas khususnya, dan Sabah amnya,” ujarnya.