KOTA KINABALU: Pendapatan isirumah semasa yang telah melebihi pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) antara sebab bantuan kebajikan ditamatkan menerusi penamatan Skim Bantuan Produktif (BKK/EPOKU/BAP/SBAM/SBAY), kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.
Katanya penamatan itu turut dibuat melalui proses kaji semula bagi mengenalpasti peningkatan pendapatan atau tahap sosio ekonomi klien berdasarkan PGK, Purata Isi Rumah Miskin Tegar Semasa atau PGK Purata Per Kapita Miskin Tegar Semasa yang ditetapkan.
“Selain itu, penamatan turut berlaku sekiranya klien meninggal dunia; berpindah tempat tinggal; maklumat tidak sahih dan meragukan; klien tidak dapat dihubungi (2 kali dalam tarikh yang berlainan) berdasarkan lawatan ke rumah/ panggilan telefon/ lain-lain medium yang bersesuaian; tidak menghantar Borang Kaji Semula (JKM20)/(SBN01) dalam tempoh yang ditetapkan; atau lain-lain faktor munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Edna Jessica Majimbun (Inanam – Warisan) pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Manakala, penamatan bagi Skim Bantuan Tidak Produktif (BWE/ BTB/ BPT), katanya akan dilaksanakan setelah beberapa usaha dan kaedah dibuat dalam tempoh setahun sekali.
“Termasuklah klien/waris hendaklah melapor diri dan memaklumkan status/kedudukan semasa melalui kaedah seperti QR Code, klien/waris hadir ke pejabat atau pemakluman melalui panggilan telefon/SMS/Whatsapp/emel/telegram kepada PKMN/PKB/PKD atau pemimpin tempatan memaklumkan perkembangan klien kepada jabatan atau lawatan ke rumah klien atau lain-lain kaedah yang bersesuaian.
“Seterusnya, penamatan bantuan boleh dilaksanakan setelah siasatan dilakukan dan mendapati bahawa kes tidak lagi memenuhi syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan seperti pindah lokasi atau peningkatan taraf sosio ekonomi.
“Atau bantuan ditamatkan secara automatik melalui sistem eBJKM (Bantuan Persekutuan) sekiranga penerima bantuan atau penerima manfaat meninggal dunia melalui sistem myIDENTITY,” jelasnya.
Sesudah itu katanya, keputusan penamatan bantuan hendaklah diserahkan kepada penerima bantuan/waris yang mana surat tersebut dijana dan dicetak melalui sistem eBJKM bagi bantuan persekutuan manakala bagi bantuan negeri pemakluman bersurat secara manual akan dibuat.
Rina menambah, kementerian itu menerusi Perkhidmatan Kebajikan AM (JPKA) masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan (Negeri), iaitu RM200 sehingga RM350 dan kesediaan kerajaan negeri untuk meningatkan bajet adalah bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.






