KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan kawasan tanah kira-kira lebih 15 hektar daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) untuk tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan bagi manfaat rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, secara khususnya, seluas 39,482 ekar (15,978 hektar) kawasan dalam Hutan Simpan Sipitang (Kelas II) telah dikeluarkan pada tahun 2025 bagi tujuan tanah rizab perkampungan untuk komuniti setempat.
“Sebelum itu, pada tahun 2023, seluas 108.72 ekar (44 hektar) juga telah dikeluarkan bagi tujuan yang sama. Dengan itu, jumlah keseluruhan kawasan yang telah dikeluarkan adalah lebih kurang 39,590 ekar (16,022 hektar),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan dari Yusri Pungut (Sindumin – Warisan) pada sesi Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Tambah Joniston, hasil penelitian oleh Jabatan Perhutanan Sabah, melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua-ketua komuniti serta penduduk kampung, beberapa kawasan hutan simpan yang dibubarkan adalah untuk memberi manfaat kepada penduduk kampung.






