SANDAKAN: Sebanyak 30 buah rumah musnah terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Bokara PPH Kampung Karamunting pada kira-kira jam 2.40 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.16 pagi tadi.
Katanya, susulan panggilan itu, seramai 21 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 16 kilometer dan tiba pada jam 3.34 pagi.
“Lapor kebakaran melibatkan 30 buah rumah jenis tidak kekal dengan anggatan keluasan 3.5 ekar telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan tiga aliran 500 kaki lima pancutan sumber air dari tangki jentera, water tanker dan pili bomba berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa serta kematian dilaporkan dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan 100 buah rumah dari terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.01 pagi.
Turut sama dalam operasi itu, lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua anggota RELA, 10 anggota TLDM dan empat dari agensi kebajikan.






