KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan sokongan penuh beliau dan parti terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Jelas Nizam, ia adalah demi kestabilan dan kesinambungan pembangunan di Sabah.
“Saya menyokong kenyataan Ketua Menteri yang menegaskan bahawa semua komponen GRS berada dalam keadaan harmoni dan bersatu menjelang PRN yang akan datang,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Justeru itu, tegas Nizam, pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021–2025) telah menunjukkan hasil yang meyakinkan, meletakkan Sabah di landasan yang betul dalam aspek ekonomi, pelaburan, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat.
“Kini, kita bersedia melangkah ke fasa baharu iaitu SMJ 2.0 (2026–2030), yang menuntut kestabilan politik sebagai asas utama untuk pelaksanaan dasar yang berterusan dan menyeluruh.
“Masalah-masalah legasi seperti air, elektrik, dan jalan raya tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan. Penyelesaiannya memerlukan pentadbiran yang stabil, dasar yang konsisten dan komitmen jangka panjang — yang hanya boleh dicapai dengan mandat yang kuat kepada GRS.
“Gagasan Rakyat komited untuk terus menjadi tunjang kekuatan GRS, memperkukuh kerjasama antara parti komponen serta menyampaikan mesej perpaduan, kestabilan dan kemajuan kepada rakyat Sabah,” ujarnya.