KUNAK: Beberapa rakaman video yang memaparkan kekecohan dalam sebuah mesyuarat di Kunak kini tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Bahri B Lakile, salah seorang peserta mesyuarat yang hadir, tampil memberi penjelasan bagi meluruskan persepsi orang ramai.
Menurut Bahri, insiden berlaku selepas Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kunak, Hussin Rais mendesak supaya beliau dan kumpulannya diberi ruang untuk naik ke pentas semasa lawatan Ketua Menteri ke Kunak pada 12 haribulan ini.
Hussin dilaporkan mahu membentangkan gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh pihaknya secara terus kepada Ketua Menteri.
“Namun, permintaan itu ditolak oleh Pegawai Daerah (DO) Kunak kerana dianggap tidak sesuai dengan format majlis, yang merupakan lawatan rasmi Ketua Menteri dan bukannya sesi pembentangan jabatan.
“Tindakan DO menolak cadangan itu menimbulkan kemarahan Hussin yang kemudian mula meninggikan suara kepada DO dan turut mengheret nama Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak Datuk Norazlinah Arif dalam pertikaiannya,” jelas Bahri di Facebook.
Katanya, beberapa ahli mesyuarat cuba meredakan keadaan, namun keadaan semakin tegang apabila Hussin dilaporkan mula mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat termasuk menyebut perkataan “taik palat” terhadap Norazlinah, yang ketika itu bertindak selaku pengerusi mesyuarat.
Akibat insiden tersebut, Norazlinah mengarahkan Hussin keluar dari mesyuarat.
Bahri menegaskan bahawa walaupun perbezaan pendapat adalah lumrah, sebarang bentuk penghinaan atau kata-kata kesat tidak wajar dikeluarkan dalam mana-mana mesyuarat rasmi.
Menyentuh dakwaan Hussin mengenai “SMJ”, Bahri mengakui tidak pasti maksud sebenar soalan “Mana SMJ saya?” yang ditimbulkan.
Namun, beliau menekankan bahawa rumah SMJ adalah milik kerajaan negeri dan bukan hak individu.
“Saya hanya menyampaikan apa yang saya saksikan semasa mesyuarat itu. Biar rakyat nilai sendiri berdasarkan fakta, bukan persepsi.
“Mesyuarat itu turut dihadiri oleh ramai ketua jabatan dan wakil agensi luar yang menjadi saksi kepada kejadian itu,” katanya.