SABAH TERIMA PELABURAN LEBIH RM33 BILION: KM HAJIJI

SABAH TERIMA PELABURAN LEBIH RM33 BILION: KM HAJIJI

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Kerajaan negeri meluluskan pelaburan berjumlah RM11.5 bilion melibatkan 89 projek yang menjana sekitar 4,566 pekerjaan sejak penularan wabak COVID–19 sehingga tahun lepas, menurut Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk projek Keluli Hijau Bersepadu bernilai RM19.6 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang ditandatangani pada November tahun lepas.

“Dengan projek Keluli Hijau ini dan pelaburan lain yang sedang dalam proses pelaksanaan, Sabah bakal menerima sejumlah RM33.4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDIA) di Shangri-La’s Rasa Ria Resort, di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk  Safar Untong, Ketua Setiausaha Negara, Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron, Peguam Negara, Nor Asiah Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Datuk Sofian Alfian Nair dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi SEDIA turut berkata bahawa daripada RM11.5 bilion itu, RM9.2 bilion adalah Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan RM2.3 bilion lagi adalah pelaburan domestik.

Katanya, 72.9 peratus daripada pelaburan atau RM8.4 bilion adalah dalam sektor pembuatan, sektor utama terdiri daripada pertanian, perlombongan, komoditi dan perladangan (RM1.6b) dan sektor perkhidmatan (RM1.5b).

“Pelaburan ini adalah usaha terkumpul Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri, SEDIA dan agensi berkaitan lain,” katanya.

Kini SEDIA berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, Ketua Menteri mahu semua permohonan dan pelaksanaan projek di bawah Pembangunan Koridor Sabah (SDC) untuk diselaraskan dengan lebih baik dengan garis masa yang ditetapkan dan semua prosedur yang perlu dipatuhi.

Kerajaan negeri turut mengalu-alukan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang dilancarkan oleh Kementerian Ekonomi pada 26 Februari 2023 yang akan membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan miskin tegar dan golongan berpendapatan B40 menerusi program seperti Usahawan Tani (INTAN), Usahawan Makanan (INSAN) dan Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Selepas menghadiri mesyuarat, Ketua Menteri berbuka puasa bersama ahli lembaga SEDIA serta 100 anak yatim dan pelajar dari empat rumah dan pusat Tahfiz di Tuaran iaitu HOME Tuaran, Maahad Tahfiz Assohabah, Tarbiyatun Nisa, dan Pusat Tahfiz Al-Quran Ash-Shabab Al-Mardhiyah di mana beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.