KOTA KINABALU: Punca utama masalah pembentungan tersumbat kerap berlaku di kawasan bandar adalah disebabkan sikap segelintir masyarakat setempat yang sering kali membuang sampah dan FOG (Fat, Oil and Grease) ke sistem pembentungan.
Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Ruddy Awah berkata, berdasarkan statistik aduan yang diterima Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) Sabah bagi kawasan Api-Api pada tahun ini, kebanyakkan kes sumbat adalah disebabkan pembuangan sampah/FOG.
“Bagaimanapun, JPP Sabah terus komited dalam memberikan pendedahan dan informasi kepada masyarakat setempat berkenaan dengan penjagaan sistem pembentungan,” katanya ketika menjawab soalan Loi Kok Kiang (Api-Api – Warisan) pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 di sini, hari ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas itu, pada tahun lalu JPP Sabah telah mengadakan tiga program Jelajah dan Awareness di sekitar Kota Kinabalu termasuk SRK Sacred Heart, SM Maktab Sabah dan Dewan Hakk Likas.
“Untuk tahun 2026, JPP Sabah akan meneruskan dengan empat program di kawasan bandar. Selain itu, JPP Sabah juga telah melaksanakan beberapa siri pemeriksaan bersepadu bersama penguatkuasa Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menangani isu pembuangan sampah dan FOG ke lurang kumbahan untuk mendidik orang awam tentang kepentingan penjagaan sistem pembentungan awam,” katanya.
Tambah Ruddy, JPP Kota Kinabalu pada masa ini mempunyai satu unit Desludging Tanker dan jabatan ini sedang dalam usaha menambah bilangan Desludging Tanker bagi memperkukuh perkhidmatan nyahenapcemar (desludging) di kawasan seliaan.
Di samping itu, bagi kawasan bandar, bagi menangani isu-isu aduan kumbahan di kawasan Central Business District (CBD), dua kontrak outsource telah dilantik bagi menangani isu-isu aduan kumbahan di kawasan Central Business District (CBD).






