Inkues Zara Qairina: Penelitian Dokumen Baharu Ditangguh, Dijangka Diteruskan Minggu Depan

Inkues Zara Qairina: Penelitian Dokumen Baharu Ditangguh, Dijangka Diteruskan Minggu Depan

0
SHARE

Kota Kinabalu: Prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ke-14 pada Khamis sepatutnya memberi tumpuan kepada penelitian beberapa dokumen baharu oleh pasukan pakar forensik, namun proses itu ditangguhkan atas sebab teknikal.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri dan Nizam Salleh berkata, dokumen berkenaan merupakan bahan yang baru dirampas pihak polis, termasuk buku tulis, buku teks serta hasil tulisan tangan Zara.

“Dokumen ini sebahagian daripada 27 item yang dirampas, dan kami kira ada sekitar 10 hingga 13 tulisan tangan, termasuk sebuah buku bertajuk Love and Peace. Semua ini belum lagi ditanda atau ditender sebagai eksibit mahkamah,” jelas Nizam.

Menurutnya, tiga pakar forensik yang hadir ke mahkamah semalam dijadualkan untuk meneliti dokumen tersebut, namun atas persetujuan bersama dengan pegawai pengendali (conducting officers), penelitian hanya akan dibuat pada minggu depan oleh saksi dari Jabatan Kimia.

“Pakar forensik yang ada sekarang akan meneliti dokumen sedia ada sehingga esok sebelum pulang ke Semenanjung. Mereka dijangka kembali minggu depan untuk menyambung semakan ke atas dokumen baharu itu,” katanya.

Dokumen baharu berkenaan dijangka menjadi sebahagian daripada bukti penting dalam membantu mahkamah merungkai punca sebenar kematian Zara Qairina.