Tiga Harimau Serang Lelaki Sehingga Parah

Tiga Harimau Serang Lelaki Sehingga Parah

0
SHARE
Seorang lelaki diserang tiga harimau dan menerima kira-kira 20 kesan luka...

BANGKOK, THAILAND – Tiga ekor harimau telah menyerang seorang lelaki sehingga cedera parah dan dua ekor anjingnya mati di hutan daerah Thong Pha Phum dalam wilayah Kanchanaburi, tengah Thailand.

Menurut laporan Bangkok Post, mangsa merupakan seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Wan, 46, yang berasal daripada suku Karen dan tidak memiliki kad pengenalan.

Pengarah Pejabat Wilayah 3 Kawasan Terlindung (Ban Pong), Niphon Chamnongsirisak berkata mangsa yang tinggal di daerah Thong Pha Phum meninggalkan kampungnya sekitar pukul 10 pagi Jumaat untuk mencari sembilan ekor kerbaunya.

Difahamkan beliau sedang mengumpul kerbaunya yang sedang meragut di Hutan Samathor dalam Taman Negara Khao Laem. Lokasi itu adalah sekitar 4 hingga 5 kilometer dari rumahnya.

“Wan yang ditemani tiga ekor anjing, berada di hutan sekitar tengah hari apabila dia melihat tiga ekor harimau meluru ke arahnya.

Dia diserang tetapi berjaya memanjat pokok untuk melarikan diri. Bagaimanapun, dua anjingnya diserang dan dibunuh,’’ jelas Niphon…

Setelah menyedari harimau – harimau itu sudah beredar, beliau memberanikan diri untuk turun dari pokok lalu menaiki kerbaunya untuk pulang ke rumah sebelum seorang temannya terserempak dengan beliau dan meminta bantuan.

Mangsa kemudian dibawa ke hospital dan sedang dirawat di Hospital Thong Pha Phum.

Difahamkan beliau mengalami kecedaraan yang serius dan menerima 20 luka di leher, tangan, kaki dan muka akibat serangan harimau tersebut.

Berikutan serangan tersebut, renjer Taman Negara Khao Laem kini melarang orang ramai masuk ke hutan berhampiran anak sungai Pilok-Samathor dan kawasan sekitarnya selama 90 hari bagi tujuan keselamatan.

Taman Negara Khao Laem juga mengerahkan kira-kira 10 renjer hutan untuk memeriksa kawasan kejadian dan meronda bagi mengelakkan haiwan itu menyerang penduduk setempat.

Sementara itu, pihak berkuasa taman negara telah menyediakan 10,000 baht (RM1,254.34) sebagai bantuan awal kepada keluarga mangsa. Isteri kepada Wan, Porkalee, 33, menerima wang itu.