Ronald Kiandee, Bersatu Penampang Desak Muhyiddin Letak Jawatan

Ronald Kiandee, Bersatu Penampang Desak Muhyiddin Letak Jawatan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Naib Presiden Bersatu, Dr. Ronald Kiandee, menyeru Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, supaya meletakkan jawatan demi memulihkan dan memperkukuh masa depan Bersatu.

Menurut beliau, tindakan Lembaga Disiplin parti yang menghadapkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta beberapa Ketua Bahagian dan wakil rakyat yang menyokong beliau, menunjukkan penyalahgunaan prosedur untuk membungkam suara pimpinan utama.

“Keadaan ini menyebabkan Bersatu kelihatan hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar, seolah-olah fokus parti hanya untuk mengekalkan kuasa Presiden dan melindungi penyokong tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dengan rakan komponen Perikatan Nasional.

“Tan Sri Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia berlarutan dan hampir mustahil dipulihkan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Penampang, Francis Mojikon, menyokong seruan Dr. Kiandee dan menggesa rombakan kepimpinan segera dilakukan.

Beliau menegaskan budaya menekan ahli melalui lembaga disiplin bukan reformasi politik, tetapi penindasan dalaman yang menjejaskan demokrasi parti.

Francis turut menyeru ahli Bersatu di seluruh negara menyokong Hamzah bagi memimpin proses penjenamaan semula parti ke arah gerakan politik yang lebih kuat, berani, dan benar-benar berkhidmat kepada rakyat.

Ronald menekankan, langkah ini sejajar dengan prinsip kepimpinan berjiwa besar yang pernah diungkap Tan Sri Muhyiddin sendiri pada 2008, dan sudah sampai masanya Presiden parti mempertimbangkan untuk berundur demi kebaikan Bersatu.