Kadar Zakat Fitrah Sabah 2026 Ditetapkan RM7.50 dan RM15.00

Kadar Zakat Fitrah Sabah 2026 Ditetapkan RM7.50 dan RM15.00

0
SHARE

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) hari ini mengisytiharkan kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah bagi tahun 2026 Masihi bersamaan 1447 Hijrah masing-masing RM7.50 dan RM15.00, bergantung kepada jenis beras yang digunakan oleh umat Islam di negeri ini.

Yang Di-Pertua MUIS, Yahya Hussin ketika mengisytiharkan kadar zakat itu berkata, kadar RM7.50 dikenakan kepada umat Islam yang menggunakan beras putih import, manakala kadar RM15.00 ditetapkan bagi mereka yang menggunakan beras wangi.

Menurut beliau, penetapan kadar tersebut adalah berasaskan sukatan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram beras, iaitu makanan ruji yang dimakan oleh majoriti penduduk Islam di Negeri Sabah.

Pengisytiharan itu dibuat sempena sidang akhbar menjelang ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak 1447H, dengan MUIS menyeru umat Islam agar menunaikan kewajipan Zakat Fitrah sebagai ibadah yang penting dalam rukun Islam.

Dalam sidang media yang sama, Yahya memaklumkan jumlah pungutan Zakat Harta dan Zakat Fitrah bagi tahun 2025 mencatatkan RM133.95 juta, melibatkan RM121.56 juta Zakat Harta dan RM12.39 juta Zakat Fitrah.

Jumlah pembayar Zakat Fitrah pada tahun lalu turut meningkat kepada 1,651,815 orang, iaitu kenaikan 2.38 peratus berbanding tahun 2024.

Bagi agihan pula, MUIS merekodkan agihan tertinggi dalam sejarah apabila menyalurkan RM181.67 juta kepada 116,776 orang asnaf di seluruh negeri.

Sepanjang Ramadan tahun ini, MUIS memperuntukkan RM21.6 juta untuk diagihkan kepada golongan asnaf, termasuk bantuan kepada fakir, miskin dan mualaf serta bayaran upah kepada amil fitrah.

MUIS turut mensasarkan pungutan keseluruhan zakat bagi tahun 2026 sebanyak RM160.2 juta, merangkumi RM13 juta Zakat Fitrah dan RM147.2 juta Zakat Harta, bagi memastikan kebajikan asnaf di Sabah terus terpelihara.