
KOTA KINABALU, SABAH – Kontinjen Tenom dan Kota Kinabalu muncul juara sulung bagi acara e-sport Mobile Legend Bang Bang (MLBB) sempena Sukan Sabah (SAGA) Edisi Ke-10.
Kontinjen Tenom meraih pingat emas bagi kategori lelaki menewaskan pasukan dari Kota Kinabalu manakala kategori wanita menyaksikan kontinjen Kota Kinabalu muncul juara selepas menewaskan Penampang pada pusingan akhir pertandingan yang diadakan di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, pada Khamis.
Ketua Jurulatih Pasukan Tenom, Johari Liew meluahkan rasa gembira atas kemenangan sulung pasukannya dalam acara e-sport yang julung kali diadakan dalam temasya SAGA X 2023.
“Meski berjauhan dengan pasukan saya memandangkan mereka berada di Tenom manakala saya bekerja di Kota Kinabalu, namun latihan yang konsisten mampu membawa kejayaan seperti pada hari ini (semalam).
“Sasaran kami seterusnya adalah untuk menjadi sebahagian daripada kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun hadapan,” ujar Johari ketika ditemui media.
Sementara itu, atlet Keningau, Hedge Newman memperoleh pingat emas sulung e-sport SAGA X bagi acara e-football selepas berjaya menewaskan Muhammad Haikal Ajla Mohd Shahrizal dari Ranau dan atlet Kalabakan, Muhammad Yusriansyah Yusof meraih pingat gangsa.
Acara Tekken 7 pula menyaksikan Mohd Nurwansyah Erwan dari Tawau merangkul pingat emas manakala pingat perak dan gangsa masing-masing disandang oleh atlet Kalabakan, Zulfiqri Amarullah dan Putatan, Mohd Azim Maspul Rais.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tenom, Syazwan Masood. — JABATAN PENERANGAN SABAH