Wabak Kulat Pokok Sawit Di Sabah Perlu Ditangani Segera – Chan

Wabak Kulat Pokok Sawit Di Sabah Perlu Ditangani Segera – Chan

0
SHARE
Chan
Contoh pokok kelapa sawit (kanan) yang terjejas dengan penyakit kulapok jelaga ( Sumber Foto: Gambar carian Google )

KOTA KINABALU, SABAH – Sejenis kulat – Perosak Koya (Mealybug) yang membawa Penyakit Kulapok Jelaga (Soothy Mold) kini sedang merebak secara luas di ladang kelapa sawit di Sabah, terutamanya di Tawau dan Lahad Datu.

Penyakit ini akan menyerang daun pelepah kelapa sawit dan mengganggu proses fotosintesis yang berlaku pada daun dan seterusnya membantutkan pertumbuhan pokok, dan menjejas kualiti kejadian buah kelapa sawit.

Berdasarkan pembentangan taklimat oleh Applied Agricultural Resources Sdn Bhd (AAR), sebuah syarikat yang menjalankan kajian dan menyediakan perkhidmatan pertanian (anak syarikat Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan Boustead Holdings Berhad), pretasi penghasilan buah tandan segar (BTS) telah menurun berturut-turut dari tahun 2018 ke 2023 dengan kadar purata 5.61 peratus bagi setiap tahun di kawasan Tawau, disebabkan penurunan kadar fotosintesis yang mendadak.

Susulan itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata syarikat AAR telah memulakan kerja penyelidikan dan rawatan pokok sejak tahun 2022 bagi mengenal pasti cara rawatan dan penggunaan racun ubat yang bersesuaian.

Setelah beberapa rawatan, katanya, wabak penyakit dapat dikawal secara berkesan dan kadar fotosintesis pokok sawit berjaya dipulihkan.

“Kini, rawatan skala penuh sudah bermula pada bulan ini di estet KLK Sabah dengan menggunakan cara suntikan batang (trunk injection) dan semburan kimia (chemical spraying).

“Namun begitu, saya difahamkan masih ramai pekebun kecil persendirian yang belum sedar akan kesan penyakit Sooty Mold.

“Bagi mengelakkan penghasilan BTS dan pendapatan pekebun kecil mengalami sebarang penurunan, saya telah meminta kerjasama daripada pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengenalpasti tahap keterukan penyakit Sooty Mold di kalangan ladang pekebun kecil dan statistik yang berkenaan untuk langkah seterusnya,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Chan juga berkata untuk mengadakan sesi libat urus bersama pekebun kecil di Sabah untuk meningkatkan kesedaran dan membantu pekebun kecil Sabah untuk menangani penyakit Sooty Mold.